Karnival Keusahawanan 2025 anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus membuktikan keberkesanannya sebagai platform praktikal yang mencungkil bakat berniaga dan memperkukuh kemahiran insaniah mahasiswa.
Menurut pensyarah yang juga penyelaras program berkenaan, Khairunnisa Mardzuki, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori keusahawanan secara langsung sekali gus melatih mereka membentangkan idea dan produk di hadapan khalayak.
"Empat kategori utama dipertandingkan iaitu pitching, jualan terbanyak, reruai tercantik dan prototaip terbaik. Pelajar dibimbing sejak awal semester hingga mampu membentuk model perniagaan yang berpaksikan nilai desa," katanya ketika ditemui pada majlis penutup program berkenaan pada Rabu.
Majlis penutup disempurnakan oleh Penasihat Bersama Karangkraf yang juga Profesor Adjung UPNM, Datuk Muhammad Nasir Hamzah. Turut hadir Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Profesor Madya Lt Kol (B) Ariffin Ismail.
Seramai 435 pelajar dari 12 kelas ijazah dan tiga kelas diploma menyertai program dua hari dengan lebih 50 reruai dibuka merangkumi sektor makanan, teknologi dan perkhidmatan.
Sementara itu, Ariffin mengakui karnival tersebut memberi impak besar kepada pembelajaran pelajar kerana mereka didedahkan secara langsung dengan proses sebenar dalam dunia perniagaan.
"Mereka bukan hanya memahami teori, tetapi turut melalui pengalaman sebenar menjual, mengurus pelanggan dan membuat keputusan secara realistik. Inilah kekuatan utama program ini," katanya.
Beliau menjelaskan, program berkenaan diteruskan sebagai agenda tahunan bagi memperkukuh nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar dari pelbagai fakulti.
Wakil pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, Iman Norazam Mohd Norisam menyifatkan karnival ini telah berjaya mencungkil bakat dan mengasah keupayaan mahasiswa untuk berfikir secara kritikal serta membuat keputusan berasaskan logik perniagaan.
"Setiap kumpulan diberi tempoh 14 minggu persediaan, termasuk menjalankan jualan sebenar dalam kampus sebelum acara kemuncak. Kami bukan hanya merancang, malah menjual dan membentangkan laporan prestasi jualan di hadapan juri," katanya.
Tambah beliau, penyertaan pelajar sangat memberangsangkan dengan setiap kumpulan diberi tanggungjawab mengendalikan reruai serta menyertai sesi pitching, termasuk menerangkan perincian produk dari aspek modal, strategi hingga anggaran keuntungan.
"Sesi pitching yang melibatkan 130 kumpulan menjadi medan utama pelajar mempersembahkan idea dan prototaip yang diinovasi dari produk desa seperti kerepek, keropok, sos dan makanan kering dengan elemen pembungkusan dan pemasaran yang lebih strategik.
"Pelajar jurusan teknikal pula tampil dengan inovasi sistem seperti alat pemberian makanan ikan automatik berasaskan teknologi AI dan sistem tempahan pintar yang memberi nilai tambah kepada perusahaan desa," katanya.
Penglibatan 20 pensyarah dan 18 juri profesional turut mengangkat kualiti penganjuran, di mana bimbingan berterusan sejak awal semester memastikan pelajar bersedia dengan perancangan dan pelaksanaan yang mantap.
Difahamkan program berkenaan juga berkeupayaan membentuk mahasiswa yang tidak hanya cemerlang akademik tetapi juga memiliki kompetensi praktikal, kreativiti dan keyakinan diri yang tinggi.
Karnival berkenaan secara tidak langsung mengangkat nilai produk komuniti desa ke tahap yang lebih profesional melalui peranan mahasiswa sebagai pemangkin inovasi dan daya saing tempatan.
*WARTAWAN: IZWAN ROZLIN