Asrama Madrasah Islahiah Diniah Memali terbakar

Iklan
Difahamkan, ketika kejadian, kesemua pelajar telah meninggalkan kawasan asrama dan berada di kelas masing-masing untuk sesi pembelajaran.

Kira-kira 53 pelajar lelaki terselamat selepas bangunan asrama mereka di Madrasah Islahiah Diniah Memali, Baling, Kedah terbakar pada Ahad.

Difahamkan, ketika kejadian, kesemua pelajar telah meninggalkan kawasan asrama dan berada di kelas masing-masing untuk sesi pembelajaran.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.54 pagi.

Menurutnya, ketika sampai, didapati kebakaran melibatkan asrama lelaki di sebuah bangunan dua tingkat.

Iklan

"Sebaik menerima panggilan, seramai 12 anggota dari BBP Baling bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi memadam kebakaran.

"Operasi turut dibantu BBP Pengkalan Hulu dengan lima anggota menggunakan jentera tangki (tanker) kerana pili bomba mempunyai tekanan air yang sangat rendah, selain lima anggota daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Lalang turut membantu," katanya.

Iklan

Menurut beliau, struktur bangunan itu terdiri daripada binaan simen di bahagian bawah dan kayu di bahagian atas, yang menjadi faktor api marak dengan cepat.

"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan berada dalam bangunan asrama ketika kebakaran memandangkan semua pelajar berusia lapan hingga 12 tahun telah berada di dalam kelas masing-masing,” katanya.

Zulkhairi berkata, kebakaran mula disedari oleh salah seorang pekerja kantin.

Beliau berkata, api dipercayai bermula dari bahagian bawah sebelum merebak ke tingkat atas bangunan berkenaan.

“Peratus kebakaran dianggarkan sebanyak 90 peratus dan api berjaya dikawal daripada merebak ke kantin serta bangunan lain,” katanya.

Tambah beliau, operasi overhaul masih dijalankan ketika ini untuk memastikan tiada sisa api di tempat kebakaran.

Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

WARTAWAN: SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA