Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menetapkan kadar maksimum yuran bulanan bagi Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Integrasi KAFA di negeri kepada RM15 berbanding RM10 bermula Mei lalu.
Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, kenaikan itu antara lain berpunca daripada peningkatan kos utiliti, kos bahan cetak, keperluan penyelenggaraan sekolah, kos pengurusan dan perbelanjaan aktiviti luar bilik darjah yang semakin meningkat.
Menurutnya, pelaksanaan penyelarasan yuran baharu bermula Mei itu melibatkan semua SRAR Integrasi KAFA di negeri ini dan dibuat selepas kajian menyeluruh serta libat urus bersama pihak sekolah.
"Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, lebih 70 peratus sekolah di kawasan bandar dan daerah yang pesat bersetuju dengan cadangan kenaikan kadar yuran bulanan ini.
"Kenaikan tersebut dilihat wajar bagi memastikan kelangsungan pengurusan sekolah yang lebih baik serta mampu memberikan kemudahan pembelajaran yang kondusif kepada para pelajar," katanya.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa sebarang keputusan menaikkan kadar yuran di sekolah tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya tanpa pemantauan.
Katanya, pihak sekolah yang berhasrat menaikkan yuran melebihi kadar maksimum RM15 seperti yang ditetapkan perlu terlebih dahulu mengemukakan permohonan rasmi berserta justifikasi kepada JAIPk.
"Sekolah perlu mendapatkan kelulusan daripada JAIPk sebelum melaksanakan sebarang kenaikan yuran melebihi kadar yang telah diselaraskan ini," ujarnya.
Menyentuh soal kemampuan ibu bapa golongan B40 dan murid asnaf, Harith Fadzilah menjelaskan bahawa JAIPk memberi ruang kepada pihak sekolah untuk mempertimbangkan bantuan atau pengecualian yuran secara kes demi kes.
Katanya, ibu bapa yang menghadapi kesukaran boleh berbincang secara langsung dengan pihak sekolah bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa menjejaskan kebajikan anak-anak mereka.
"Ketika ini, hampir 90 peratus sekolah masih lagi mengguna pakai kadar yuran penyelarasan yang lama sejak 2018," katanya.
Tambah beliau, kali terakhir penyelarasan yuran SRAR Integrasi KAFA dilakukan ialah pada 31 Oktober 2018 dan langkah terbaharu ini dibuat selepas mengambil kira beban kos operasi semasa yang semakin mencabar.
"Jadi, kenaikan ini tidak dibuat secara tergesa-gesa, tetapi telah melalui penelitian serta pandangan pelbagai pihak berkepentingan," katanya.
WARTAWAN: NORMAWATI ADNAN