Pengakap seawal Darjah 1? Nurul Izzah saran mulakan awal!

Iklan

Murid seawal usia Darjah 1 disaran diberi peluang menyertai gerakan Pengakap bagi memupuk nilai kepimpinan dan jati diri sejak kecil.

Cadangan ini diketengahkan oleh Pengerusi Eksekutif Polity, Puan Nurul Izzah Anwar, semasa menjadi panel dalam Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 pada Khamis.

Iklan
Iklan

“Saya fikir elok juga kalau murid Darjah 1 pun boleh menganggotai Pengakap. Negara seperti Maldives dan Hong Kong sudah laksanakannya dan ini wajar kita pertimbangkan,” katanya kepada Media Pengakap Malaysia di Kuala Lumpur

Menurut beliau, nilai-nilai yang dibawa dalam pengakap mampu membentuk keperibadian positif bukan sahaja sebagai pemimpin di sekolah, tetapi juga sebagai anggota masyarakat yang prihatin.

Iklan

Jati diri sejak awal usia

Menyingkap kembali pengalamannya sendiri sebagai ahli Pengakap, Nurul Izzah menyifatkan penyertaan awal memberi kesan besar kepada cara fikir dan nilai kehidupan yang dipegangnya hingga kini.

Iklan

“Kita belajar banyak tentang pengalaman sebenar seperti berdikari, hidup di hutan dan tolong-menolong. Prinsip bercakap benar dan semangat bantu masyarakat, semuanya saya mula kenal sejak jadi Pengakap,” katanya.

Kini, murid sekolah rendah lazimnya hanya dibenarkan menyertai unit beruniform bermula Darjah 4. Cadangan memperluaskan penyertaan kepada murid lebih muda dilihat mampu memperkasa pembangunan sahsiah dan kepimpinan anak-anak seawal usia tujuh tahun.

Beliau turut menyeru alumni Pengakap untuk terus menyumbang dan menyokong gerakan ini termasuk mempertimbang untuk kembali menyertai sebagai ahli seumur hidup.

“Saya ingin ajak semua merancakkan penglibatan anak muda dalam Pengakap, dan walaupun kita telah bekerjaya, kita masih boleh menyumbang kembali,” ujarnya.

Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 berlangsung hingga 29 Jun ini, menghimpunkan pemimpin muda Pengakap dari seluruh rantau untuk membincangkan peranan gerakan ini dalam pembangunan komuniti dan advokasi sosial.

Hadir sama dalam bengkel itu ialah Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin; Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ahmad Sabri Saad.