Malaysia dominasi ASEAN TVET Friendly Match 2025

Iklan
Abdul Rahman (tengah) bersama barisan pemenang dalam ASEAN TVET Friendly Match 2025 yang berlangsung di WTC baru-baru ini.

Pasukan Malaysia mendominasi ASEAN TVET Friendly Match 2025 apabila membolot tujuh pingat emas daripada sembilan kategori yang dipertandingkan membabitkan bidang berkaitan sektor kemahiran vokasional.

Pada pertarungan yang disertai 12 negara itu, wakil Malaysia meraih kejuaraan bagi Penerapan Bata, Pertukangan Kayu, Pertukangan Kabinet, Pembinaan Digital, Pendawaian Elektrik, Paip dan Pemanasan serta Kimpalan.

Iklan
Iklan

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, ASEAN TVET Friendly Match 2025 merupakan manifestasi kebangkitan semangat serantau, komitmen kolektif dan aspirasi dalam membentuk masa depan ASEAN yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing.

"Kita menyaksikan pencapaian luar biasa 40 anak muda berbakat dari 12 negara yang bertanding dengan semangat tinggi dalam sembilan bidang kemahiran utama membawa harapan generasi baharu ASEAN.

Iklan

"Pertandingan ini membuktikan kemahiran adalah enjin pembangunan sesebuah negara. Misalnya, Dari Batu Bata ke Rekabentuk Digital, dari Pendawaian Elektrik hingga Penyaman Udara, setiap bidang kemahiran yang dipertandingkan bukan hanya menguji kepakaran teknikal, tetapi daya tahan mental, kreativiti penyelesaian masalah dan komitmen kepada kecemerlangan profesional.

"Melalui penilaian yang selaras dengan WorldSkills Occupational Standards (WSOS), pertandingan ini menjadi medan latihan sebenar bagi peserta menghadapi pertandingan peringkat ASEAN dan Asia yang lebih besar pada masa hadapan, termasuk WorldSkills ASEAN di Manila dan WorldSkills Asia di Taipei," katanya selepas majlis penyerahan hadiah kepada pemenang di Pusat Dagangan Dunia (WTC) baru-baru ini.

Iklan

Kata Abdul Rahman, misi ini antara lain bagi memastikan ASEAN saling memperkukuh kelebihan daya saing setiap negara dan memperluaskan jaringan perniagaan serantau bagi menjana peluang pertumbuhan baharu bermula dengan usaha membangunkan generasi muda.

"Sebagai tuan rumah, Malaysia berbesar hati menyediakan platform ini menerusi kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama komitmen luar biasa dari peringkat perancangan hingga ke pelaksanaan.

"Selaras tema Kepengerusian ASEAN 2025: Inklusiviti dan Kelestarian, Malaysia komited untuk terus menjadi peneraju dalam agenda harmonisasi TVET serantau terutama dalam pembangunan standard industri, pemadanan kemahiran dan mobiliti tenaga kerja teknikal.

"Seiring dengan aspirasi Ekonomi Madani, Malaysia memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran hijau sebagai pemangkin utama dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)," ujarnya.

Ketahanan fizikal dan mental

Sementara itu, penerima pingat emas Penerapan Bata, Misto Mikin, 18, berkata tempoh 18 jam yang diperuntukkan untuk menyiapkan model menyusun bata untuk paten 'I Love TVET' sesuatu yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental.

"Saya teruja dengan kemenangan ini yang juga menjadi pendorong mengharumkan nama negara pertandingan WorldSkill di Taipei pada November depan," katanya yang merupakan pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu, Sabah.

Misto meraih pingat emas menerusi bidang Penerapan Bata.

Seorang lagi pemenang pingat emas kategori Pertukangan Kayu, Luqman Nurhafizi Abdul Kadir berkata, peluang dibuka CIDB dan Kementerian Kerja Raya untuknya menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa memberi 1001 pengalaman berharga

"Paling bermakna apabila saya meraih pingat emas mengalahkan peserta dari negara lain yang hebat sekali gus membuka peluang saya mara ke peringkat seterusnya di Manila," ujar pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Perkayuan (WISDEC) Banting, Selangor.

Terdahulu, seramai 40 peserta muda dari 12 negara termasuk jemputan dari Asia ll bertanding dalam persekitaran berintensiti tinggi yang direka untuk menepati piawaian antarabangsa mengikut WorldSkills Occupational Standards (WSOS).

Acara ini menjadi batu loncatan yang penting menjelang Pertandingan WorldSkills ASEAN Ke-14 di Manila dan WorldSkills Asia Ke-3 di Taipei di mana setiap peserta diuji dalam sembilan bidang kemahiran termasuk Pembinaan Digital serta Rekabentuk Kejuruteraan CAD.

Ini merupakan kali pertama pertandingan TVET peringkat serantau diadakan dengan memberi fokus terhadap kemahiran sektor pembinaan sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh profil sektor pembinaan dalam ekosistem TVET.