Sekumpulan pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Periklanan (MC244), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menganjurkan sebuah program kesedaran bertajuk SWARA - SPEAK.SEEN. SAFE, yang memberi tumpuan pada keselamatan digital dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Program ini akan berlangsung pada pukul 11 pagi hingga 8 malam, 5 Julai di GMBB, Bukit Bintang.
Kempen berkenaan merupakan sebahagian daripada projek tahun akhir bagi kursus ADV 602, Teknologi Periklanan di bawah seliaan Pensyarah, YM Raja Putri Nadiah Raja Ahmad.
Bertemakan SWARA - SPEAK. SEEN. SAFE., kempen memberi penekanan pada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan digital, khususnya berkaitan isu-isu seperti pengantunan seksual kanak-kanak dalam talian (online child grooming), kesihatan mental dan legasi digital iaitu pemahaman tentang pengurusan data serta akaun digital selepas kematian.
Menurut Presiden SWARA: SPEAK.SEEN.SAFE, Nur Camelia Abdan Naser, kempen bertujuan mendedahkan masyarakat pada cabaran dan risiko dunia digital masa kini.
"Antara topik-topik utama yang diberi penekanan termasuk ancaman eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram, kesan negatif penggunaan media digital terhadap kesihatan mental serta kurangnya kesedaran mengenai pengurusan legasi digital dalam kalangan masyarakat.
"Isu-isu ini semakin ketara dan memerlukan perhatian serta tindakan kolektif.
"Melalui program ini, kami ingin memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya pengantunan seksual kanak-kanak dalam talian yang sering berlaku tanpa disedari, di mana kanak-kanak dipengaruhi oleh individu yang tidak bertanggungjawab tanpa sedar,” katanya.
Bagi menggalakkan penyertaan aktif dan meningkatkan kefahaman, Camelia berkata, pelbagai aktiviti interaktif telah dirancang sepanjang berlangsungnya program itu.
"Pendekatan yang digunakan bersifat mesra pengguna dan relevan untuk golongan muda serta warga emas, agar mesej yang disampaikan mudah difahami sekali gus mampu memberi kesan yang mendalam.
"Saya yakin, penganjuran program ini mencerminkan keprihatinan generasi muda terhadap cabaran keselamatan digital yang semakin rumit dan keyakinan bahawa pendidikan serta kesedaran merupakan langkah awal yang penting dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman pengantunan seksual dalam talian,” katanya.
Untuk info, program terbuka kepada orang ramai dan dijangka akan menerima kehadiran pelajar-pelajar sekolah, ibu bapa, guru, wakil-wakil dari badan bukan kerajaan dan pihak industri yang terlibat dalam keselamatan digital.
Ia amat digalakkan untuk dihadiri bagi mendapatkan pendedahan yang lebih mendalam mengenai isu-isu keselamatan digital semasa.
INFO
- Pengantunan seksual merupakan perlakuan penjenayah seksual untuk memanipulasi dan mengekploitasi kanak-kanak sebagai mangsa seksual mereka (Zainal Rashid, Kamaluddin, Wahab, Abdul Aziz, Abdul Latiff & Rathakrishnan, 2018).
- Pengantunan seksual juga dapat diterjemahkan sebagai satu persediaan awal yang dilakukan oleh penjenayah dengan menjalinkan hubungan mesra dengan kanak-kanak demi melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak itu (Zainal Rashid et al. 2018).