Inovasi penggunaan jantung pisang sebagai alternatif menggantikan daging dalam hidangan nasi minyak mencuri perhatian apabila berjaya diangkat sebagai antara pilihan makanan kecemasan berasaskan sisa pertanian tempatan.
Ciptaan itu dihasilkan sekumpulan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui produk dinamakan Raja Saji yang dipamerkan sempena Program Pelancaran Produk Makanan Baharu 2025 anjuran Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) baru-baru ini.
Pensyarah FBIM, Dr Tengku Farizan Izzi Che Ku Jusoh berkata, penggunaan jantung pisang dalam sajian tradisional seperti nasi minyak membuka potensi baharu terhadap sisa pertanian sebagai sumber makanan berkhasiat dan mapan.
"Produk ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sumber haiwan, malah membuktikan jantung pisang boleh dijadikan protein alternatif, terutama ketika kecemasan," katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan inovasi makanan, keselamatan pemakanan dan pengurangan sisa makanan.
Wakil kumpulan, Nur Aisyah Amirah Hassan, 22, berkata, jantung pisang yang lazimnya dianggap sebagai sisa pertanian dijadikan bahan asas menggantikan daging, sesuai dimakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang tidak boleh mengambil daging.
"Produk Raja Saji ini menyokong penghasilan makanan kecemasan yang mesra alam dan sihat, sejajar dengan tema 'Penggunaan Sisa Pertanian Tempatan Untuk Penghasilan Makanan Kecemasan Lestari'," katanya.
Jelas beliau, penyediaan 'daging' jantung pisang melibatkan proses pemotongan, rendaman dalam larutan cuka, air dan garam untuk menghilangkan getah.
"Ia diikuti dengan proses merebus, kisar, pengeringan, pencampuran bahan mengikut formulasi khas, pembentukan ‘patty’, pengukusan, goreng pan, dan air-frying bagi mendapatkan tekstur rangup dengan kandungan minyak rendah," tambahnya.
Program itu melibatkan 92 pelajar tahun akhir pelbagai program pengajian termasuk pelajar mobiliti dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei dalam usaha mencungkil bakat serta melahirkan generasi muda yang kreatif dalam penyelesaian isu keselamatan makanan dan kemapanan.
Antara bahan lain yang digunakan pelajar dalam projek masing-masing termasuk hampas kelapa, kulit pisang, batang nanas dan ubi rosak bagi menghasilkan produk siap guna untuk kegunaan ketika bencana atau krisis bekalan makanan.
Antara ciptaan menarik lain yang turut dipamerkan ialah roti hampas kelapa dengan sapuan kaya, lontong kuah lodeh mesra kecemasan, serta mash tropika berasaskan ubi VitAto dan biji nangka.
Dalam pertandingan tersebut, kumpulan 'Tahan Lapar Wrap' diumumkan pemenang utama menerusi produk balutan sedia dimakan berintikan kari masala dan daging tumbuhan yang menggunakan campuran sisa pertanian seperti ubi kayu, labu dan daun mulberi.
Ketua kumpulan, Irdina Inshera Zainizam, 22, berkata, produk itu diinspirasikan daripada konsep makanan sedia dimakan (MRE) yang praktikal dan tidak memerlukan pemanasan.
"Walaupun dihasilkan untuk tujuan kecemasan, wrap ini juga sesuai untuk vegetarian dan mereka yang aktif bekerja," katanya.