Remaja tertekan: Siapa perlu dipersalahkan?

Iklan
Kesan daripada tekanan yang dialami ini menyebabkan sebahagian besar anak muda kurang cenderung untuk menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat secara berterusan. Foto: Canva

Dalam era serba mencabar hari ini, semakin ramai remaja dan anak muda berdepan tekanan hidup yang luar jangkaan.

Keadaan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat mengapa generasi kini sering dilabel sebagai generasi yang mudah rapuh dan kurang berprinsip?

Iklan
Iklan

Persoalan yang timbul seterusnya adalah: siapakah yang patut dipertanggungjawabkan?

Adakah barisan pemimpin, institusi kekeluargaan atau mungkin diri mereka sendiri? Seperti kata pepatah, tepuk dada, tanya selera.

Iklan

Kesan daripada tekanan yang dialami ini menyebabkan sebahagian besar anak muda kurang cenderung untuk menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat secara berterusan.

Namun, hakikatnya tekanan bukan sahaja menimpa golongan yang lemah semangat, bahkan mereka yang gigih berusaha juga tidak terkecuali.

Iklan

Ini membuktikan bahawa semangat juang semata-mata tidak menjamin kesejahteraan emosi dan kejayaan yang berpanjangan.

Malangnya, masih wujud segelintir individu yang memandang enteng terhadap tekanan yang dialami oleh anak muda.

Foto: Canva

Ungkapan seperti alah, baru kena sikit dah koyak atau zaman kami dulu lagi susah, seolah-olah menidakkan emosi dan pengalaman yang dilalui oleh generasi kini.

Sikap ini hanya menambah luka pada jiwa yang sedia terluka.

Emosi adalah sesuatu yang subjektif dan perlu ditangani dengan empati serta pendekatan yang berhemah. Seperti yang dikatakan, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Memang benar, ada segelintir anak muda yang seakan sengaja menambah beban hidup mereka dengan membuat keputusan yang kurang bijak.

Namun, sejauh mana kita pasti bahawa setiap tindakan itu berpunca daripada kelemahan peribadi, bukan kesakitan yang tersembunyi?

Kita tidak memiliki kelebihan untuk membaca fikiran orang lain, apatah lagi menilai sepenuhnya apa yang mereka lalui.

Oleh itu, sebarang penilaian perlulah berpaksikan belas ihsan, bukan prejudis.

Maka, menjadi tanggungjawab bersama pemimpin, pendidik, ibu bapa, rakan sebaya dan masyarakat untuk menjaga kesihatan mental dan emosi generasi muda.

Mereka adalah tunas harapan dan pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang.

Setiap pihak perlu memainkan peranan, tidak kira kecil atau besar. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Sebagaimana pentingnya infrastruktur fizikal dibangunkan, begitu juga pentingnya membina infrastruktur emosi dan mental dalam kalangan anak muda.

Kerana pada akhirnya, negara yang hebat terbina bukan sahaja atas dasar ekonomi yang kukuh, tetapi juga atas kestabilan emosi warganya.

Maklumat penulis:

Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Muhammad Adz Arrief Hayat bin Zamri

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my