100 tahun Tun Mahathir! Legenda yang terus dikenang

Iklan
Ketika era pemerintahan Tun Mahathir, Malaysia muncul sebagai pusat pelaburan baru di Asia Tenggara sekali gus menjadi alternatif kepada pelabur-pelabur asing selepas Singapura.

Hari ini merupakan detik yang cukup bersejarah dan penuh makna buat seorang negarawan unggul tanah air, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100.

Sempena ulang tahun istimewa ini, rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat tidak melepaskan peluang menzahirkan ucapan dan doa serta memohon agar Tun Mahathir dikurniakan kesihatan yang baik, usia diberkati, rezeki berpanjangan dan sentiasa dalam lindungan rahmat ALLAH SWT.

Iklan
Iklan

Sebagai menghargai legasi perjuangan beliau, Sinar Bestari ingin berkongsi beberapa trivia dan fakta menarik tentang Tun Mahathir yang mungkin belum diketahui umum, khususnya generasi muda yang bakal menerajui masa depan negara.

Semoga perkongsian ini dapat menjadi pencetus inspirasi buat para pelajar dan belia, agar tidak mudah berputus asa dalam menuntut ilmu dan membina kejayaan.

Iklan

Foto: Sumber Facebook

Menurut portal UMNO Online, Tun Mahathir dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Lorong Kilang Ais Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Iklan

Bapanya bernama Mohamad Iskandar dan ibunya, Wan Tempawan Wan Hanafi.

Tun Mahathir merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik yang terdiri daripada empat perempuan dan lima lelaki.

Negarawan itu telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Seberang Perak, Kedah dan bersambung ke Sekolah Inggeris Alor Setar yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abdul Hamid.

Persekolahannya tergendala ketika Jepun memerintah Malaya.

Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, beliau telah kembali menyambung pelajarannya di sekolah yang sama sehinga tamat Senior Cambridge.

Foto: Sumber Facebook

Kemudian, Tun Mahathir telah melanjutkan pelajarannya ke King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura pada 1947.

Semasa 1952, beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dan pada tahun berikutnya Tun Mahathir membuat housemanship di Hospital Besar, Pulau Pinang.

Di antara 1954 hingga 1956, Tun Mahathir menjadi Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Star dan kemudiannya di Pulau Langkawi.

Pada 1957, beliau telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan dan membuka klinik MAHA yang merupakan klinik pertama yang diusahakan anak Melayu di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar.

Tun Mahathir merupakan Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh serta salah seorang pemimpin atau tokoh terkemuka di Malaysia.

Beliau merupakan Perdana Menteri yang paling lama mentadbir negara iaitu selama 22 tahun bermula 1981 hingga 2003 dan 1 tahun 10 bulan (2018 hingga 2020).

Foto: Sumber Facebook

Tokoh ini telah mendirikan rumahtangga dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh anak iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Tun Mahathir telah diberikan gelaran sebagai ‘Bapa Pemodenan Malaysia’ sebagai pengiktirafannya yang membawa Malaysia ke mercu kejayaan sehingga mendapat penghormatan negara-negara asing.

Ketika era pemerintahan beliau, Malaysia muncul sebagai pusat pelaburan baru di Asia Tenggara menjadi alternatif kepada pelabur-pelabur asing selepas Singapura.

Foto: Facebook Tun Mahathir

Selain itu, Malaysia dikenali kerana kejayaan projek-projek mega yang diilhamkan oleh Tun Mahathir antaranya Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Menara Berkembar Petronas dan Menara KL.

Seterusnya, Jambatan Pulau Pinang, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton), Perusahaan Otomobil Kedua Negara (Perodua) Litar Formula One Litar Sepang, pembangunan Putrajaya dan mengalihkan pusat pentadbiran negara daripada ibu negara Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Atas segala jasa dan sumbangan beliau yang tidak ternilai dalam membangunkan negara, kami di Sinar Bestari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tun Mahathir.

Semoga Tun terus sihat, diberkati dan dikenang sebagai tokoh negara yang unggul.

Foto: Facebook Tun Mahathir