TVET semakin diperkasa! Selangor sedia ruang lebih cerah untuk anak muda

Iklan
Gambar hiasan.

Kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan kolej komuniti bagi mewujudkan pangkalan data berkaitan lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) itu bertujuan memudahkan pihak industri dan majikan mengakses maklumat berkaitan kemahiran tenaga kerja serta sumber manusia yang ditawarkan di negeri tersebut.

Iklan
Iklan

"Selangor mempunyai Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisas) yang diperkenalkan pada tahun 2019 bagi meningkatkan keupayaan pelajar lepasan pengajian dalam bidang tertentu seperti aeroangkasa.

"Kerajaan Persekutuan pula mempunyai politeknik yang menawarkan kursus kejuruteraan penerbangan. Justeru, perlu ada kerjasama menyeluruh. Menerusi STDC, kita akan bergabung dengan KPM dan kolej komuniti bagi mewujudkan pangkalan data ini untuk memudahkan akses kepada kemahiran dan sumber tenaga kerja di Selangor," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin (PN-Sungai Burong) yang meminta penjelasan berhubung kewujudan pangkalan data graduan TVET mengikut kemahiran.

Amirudin (kanan) ketika Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Selangor ke-15 Tahun 2025 di Bangunan Dewan Negeri Selangor. (Foto: Bernama)

Iklan

Amirudin berkata, cadangan mewujudkan pangkalan data itu akan dikemukakan dalam Belanjawan Negeri akan datang sebagai antara inisiatif dan perancangan kerajaan negeri bagi tahun hadapan.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri turut giat memperkasa bidang TVET sebagai pilihan utama dalam kalangan graduan, namun masih berdepan cabaran termasuk dari segi persepsi masyarakat.

"Masih ada anggapan bahawa hanya universiti mampu menawarkan peluang pekerjaan. Justeru, bidang TVET tidak diisi sepenuhnya kerana dianggap sebagai pilihan kedua dalam sistem pendidikan.

"Pemikiran ini perlu diubah. Oleh itu, tahun hadapan kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk berkongsi maklumat mengenai tawaran pekerjaan dalam bidang TVET di peringkat sekolah menengah lagi," katanya. - Bernama