Program Anak Kita (PAK) berada di landasan yang betul dalam membantu murid yang hampir tercicir untuk kembali yakin dan berjaya dalam pelajaran sekali gus melonjakkan pretasi pendidikan mereka, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, program intervensi itu, berjaya membuktikan keberkesanannya apabila 460 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 daripada 11 sekolah di Pulau Pinang, menunjukkan prestasi cemerlang hasil sokongan berterusan sepanjang tahun lepas.
Fadhlina berkata, di Pulau Mutiara, 99 peratus pelajar hadir menduduki SPM dan 93 peratus berjaya memperoleh sijil, khususnya dalam subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.
"PAK merupakan satu bentuk intervensi nasional yang dilaksanakan secara menyeluruh dan bersasar, melibatkan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dengan pelbagai rakan strategik," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Widuri di sini.
Setakat pertengahan tahun 2025, beliau berkata, pelaksanaan PAK di Pulau Pinang yang melibatkan 1,280 murid dari 64 sekolah, menunjukkan perkembangan positif yang signifikan.
Sebanyak 71 peratus murid menunjukkan peningkatan gred dalam Bahasa Melayu, 44 peratus mencatat peningkatan dalam Sejarah manakala bagi subjek Matematik yang merupakan antara subjek paling mencabar, 13 peratus murid berjaya meningkatkan gred mereka.
Program tersebut dijalankan secara tersusun melalui kelas tuisyen dalam talian, yang diperkukuh dengan kumpulan pembelajaran kecil, sekali gus memberikan ruang pembelajaran tambahan kepada murid SPM yang memerlukan sokongan.
Fadhlina berkata, pendekatan program tersebut bersifat holistik dan bersesuaian dengan keperluan murid termasuk intervensi secara pengkhususan, personal coaching, tumpuan subjek bitara dan sokongan psikosocial serta kaunseling.
"Intervensi yang bersifat holistik ini kita percaya bahawa ia akan memberikan sumbangan yang lebih besar dan juga diperluaskan. Begitu juga dengan komitmen yang sedia ada untuk kita teruskan dari semasa ke semasa," katanya.
Program yang dilancarkan pada 27 September 2024 itu dibahagikan kepada tiga program utama iaitu Program 3M (sekolah rendah), Program SPM (sekolah menengah) dan Program Murid Cicir (sekolah rendah dan menengah).
Program yang diterajui oleh Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional, bersama Unit Pantau MADANI itu bertujuan meningkatkan tahap penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid sekolah rendah, meningkatkan kadar kehadiran dan keputusan peperiksaan SPM dan mengembalikan pelajar ke sistem pendidikan formal serta memastikan mereka kembali kekal bersekolah.
Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Nibong Tebal dan SMK Taman Widuri turut dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI, selaras dengan komitmen memperkukuh jaringan sokongan pendidikan pada peringkat akar umbi. - Bernama