Seorang wanita dipercayai ibu kepada pelajar yang meninggal dunia akibat terjatuh dari bangunan sekolah, meluahkan kekecewaannya terhadap individu yang didakwa membuli anaknya menerusi satu hantaran di media sosial pada Khamis.
Hantaran yang dibuat di dalam akaun TikTok itu dipercayai ditulis ibunya sendiri turut disertakan gambar keadaan remaja itu sebelum disahkan meninggal dunia pada malam Khamis.
"Kepada pembenci-pembenci anak saya, mungkin kamu sudah berpuas hati melihat keadaan ini.
"Ingat, selagi kamu belum memohon maaf dan mengaku, saya juga tidak akan memaafkan kamu. Saya tahu nama-nama mereka yang selalu si Zara sebut..." tulisnya.
Sebelum itu, tular paparan tangkap layar luahan individu tersebut yang dikongsikan pengguna media sosial, dengan dakwaan terdapat unsur buli yang berlaku terhadap anaknya semasa di sekolah.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar meninggal dunia akibat terjatuh dari bangunan sekolah berkenaan.
Bagaimanapun, beliau ketika dihubungi memaklumkan bahawa kenyataan media penuh berhubung insiden tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
"Ya (mengesahkan). Tunggu siaran media," katanya ringkas pada Jumaat.
Pelajar tersebut dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah pada Rabu dan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (QHE) namun disahkan telah meninggal dunia pada Khamis.