Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menitahkan supaya pelajar sekolah menengah khususnya daripada keluarga B40, didedahkan kepada industri seni sebagai usaha membendung mereka daripada terjerumus ke dalam gejala sosial.
Raja Zarith Sofiah menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah Seri Paduka Baginda sedar tentang cabaran yang dihadapi dalam kehidupan golongan B40 dan tidak semua daripada anak-anak golongan ini cenderung kepada bakat akademik semata-mata.
"Ada baiknya kita dedahkan kepada mereka laluan ke arah masa depan serta karier dalam bidang kesenian yang berpotensi besar.
"Saya berhasrat untuk mewujudkan ruang sebegini sebagai usaha menggalakkan pelajar-pelajar menambah kemahiran kesenian bermanfaat bersama selebriti berjaya yang boleh menjadi mentor kepada mereka sekali gus mengurangkan risiko mereka terjerumus ke dalam gejala sosial yang merudumkan masa depan.
"Usaha sedemikian, juga membantu menangani masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kesunyian, di samping memupuk nilai perpaduan dalam membantu golongan yang memerlukan," titah Raja Permaisuri Agong.
Terdahulu, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap dan mengadakan pertemuan bersama rombongan penggiat industri kesenian dan kebudayaan negara.
Pertemuan itu antara lain bagi membincangkan cadangan mewujudkan satu program untuk mendedahkan pelajar sekolah menengah golongan B40 kepada industri seni dengan bertemu penggiat serta artis ternama melalui sebuah produksi pementasan.
Program itu bukan sekadar pembelajaran kesenian di sekolah bersama dengan guru, tetapi juga pendedahan kepada gerak kerja sebenar industri bersama-sama figura pelakon, pengarah, pemuzik dan lain-lain yang berkaitan di belakang tabir sebuah produksi, titah Seri Paduka Baginda.
Antara yang hadir pada pertemuan itu ialah Datuk Seri Raja Rezza Shah Raja Aman Shah, Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Datuk Syafinaz Selamat, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Presiden SENIMAN, Zed Zaidi dan pengarah terkemuka, Datuk Zahim Albakri.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Penyelidik Pakar daripada Kementerian Luar, Murni Wan Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Hishammuddin Abd Rahim. - Bernama