RMK13: Buka peluang baharu dunia pendidikan tinggi

Iklan
Gambar hiasan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyatakan komitmen penuh untuk memperkasa sektor pendidikan tinggi negara susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RMK13 yang digarap berteraskan kerangka Malaysia Madani memberi fokus jelas terhadap pembangunan pendidikan tinggi termasuk pemerkasaan TVET, digitalisasi pembelajaran, pengantarabangsaan universiti dan penyelidikan berimpak tinggi.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KPT, kementerian menyambut baik penekanan yang diberikan dalam RMK13 terhadap keperluan membina modal insan holistik dan pengukuhan sistem pendidikan tinggi negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sebagai peneraju utama dalam landskap pendidikan tinggi, KPT menyatakan pihaknya akan terus mempergiat pelbagai usaha strategik untuk menjayakan matlamat RMK13, termasuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan warga pendidik serta memperkasa pembelajaran sepanjang hayat.

Iklan

Dalam kenyataan sama, KPT menegaskan bahawa pendidikan tinggi bukan sahaja memainkan peranan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, malah menjadi asas penting dalam membina masyarakat yang berilmu, beretika dan progresif.

Kementerian turut menyeru kerjasama erat semua pihak termasuk institusi pendidikan tinggi, agensi, industri dan komuniti bagi merealisasikan pelan pembangunan pendidikan tinggi seperti yang digariskan dalam RMK13.

Iklan

“Bersama-sama kita jayakan aspirasi Malaysia MADANI untuk masa depan yang lebih gemilang,” maklum KPT lagi.