Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merayu semua pihak menghentikan tindakan yang boleh mencetuskan konflik sehingga mengganggu emosi, mental dan psikologi pelajar serta guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah berikutan kes kematian melibatkan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, dalam memperjuangkan keadilan untuk Zara Qairina, semua pihak perlu menjaga kesejahteraan warga sekolah lain supaya insiden sama tidak berulang.
Beliau berkata, pihaknya amat bersimpati dan berkongsi rasa sedih dengan tragedi yang berlaku sehingga mencetuskan kempen #justiceforzara.
Bagaimanapun, katanya, semua pihak di harap dapat menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan konflik termasuk penganjuran demonstrasi di hadapan sekolah.
"Kami di KPM ada 5.1 juta murid dan semuanya menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan keselamatan mereka.
"Jadi saya merayu agar hentikan perkara-perkara yang menimbulkan konflik seperti demonstrasi depan sekolah kerana ia boleh menggugat kesejahteraan mental dan emosi pelajar serta guru," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Guru Madani dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tingkatan Enam di Hotel Permai, Batu Buruk, Terengganu pada Isnin.
Beliau menegaskan, KPM sentiasa berpegang kepada etika profesionalisme, termasuk semua guru yang terikat dengan tanggungjawab tersebut dan pada masa sama tidak mengetepikan tragedi yang menimpa Zara.
"Kami amat simpati dengan apa yang berlaku terhadap Zara. Namun pada masa sama, kita juga perlu memastikan anak-anak di sekolah tersebut kekal selamat dan tidak diganggu, sama ada dari segi mental mahupun emosi.
"Apa yang telah berlaku kepada Zara memang amat menyedihkan. Di peringkat KPM, termasuk Menteri dan pengurusan tertinggi, kami sangat berharap keadilan dapat diberikan kepada Zara.
"Namun, pada masa yang sama, saya juga merayu agar semua pihak memberikan keadilan kepada anak-anak yang masih bersekolah di situ.
"Kita tidak mahu wujud 'Zara kedua' atau seterusnya. Dalam memperjuangkan keadilan untuk arwah, kita juga perlu menjaga emosi, perasaan dan psikologi anak-anak yang lain," ujar beliau.
Menurutnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkannya kepada polis bagi membantu melancarkan siasatan.
"Berikan kepercayaan kepada pihak berkuasa yang mengendalikan kes ini. KPM akan memberikan sokongan dan kerjasama penuh untuk memastikan keadilan buat arwah Zara," katanya.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah berkenaan.
Mangsa dilapor terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekitar jam 4 pagi.
Allahyarhamah kemudian disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Insiden menimpa pelajar tersebut mengundang perhatian ramai termasuk aktivis, pemimpin politik dan orang awam yang melancarkan kempen #justiceforzara di media sosial, menuntut keadilan dan tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab.