Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir menjadi perhatian utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan komitmen memastikan kebenaran dan keadilan ditegakkan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, seluruh warga KPM amat berdukacita dengan kemalangan yang menimpa pelajar berusia 13 tahun itu.
"Kes ini sememangnya menjadi perhatian utama kementerian. Saya meletakkan seluruh harapan supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Menurutnya, KPM menyambut baik langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani kes tersebut.
"Kementerian memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dilaksanakan oleh polis dan perkembangan berkenaan kes ini akan dimaklumkan PDRM dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Terdahulu, Fadhlina menerima kunjungan wakil aktivis pelajar di bangunan Parlimen bagi membincangkan semua kebimbangan yang dibangkitkan dalam memorandum yang dikemukakan kepada Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Beliau berkata, KPM telah mengumumkan beberapa langkah penting bagi meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
"Ini termasuk melakukan audit keselamatan, menambah baik sistem aduan buli, menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan, mengambil tindakan tegas seperti menggantung atau membuang sekolah pelaku buli serta memastikan aspek sokongan psikososial diperkukuhkan di setiap peringkat," katanya.
Fadhlina menambah, KPM juga bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan sesi libat urus bersama gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil bagi membentuk prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan tegas terhadap kes buli.
"KPM akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi memberi pencerahan berkenaan garis panduan menangani salah laku buli yang sedang berkuat kuasa.
"Kementerian juga terbuka terhadap pandangan dan cadangan untuk menambah baik garis panduan sedia ada," katanya.
Berkaitan tuntutan latihan mandatori dan berkala kepada guru, pentadbir serta warden meliputi intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar dan tatacara profesional pengendalian aduan berpihak kepada mangsa, Fadhlina menjelaskan garis panduan menangani salah laku buli perlu dipatuhi di semua institusi pendidikan.
"Aspek latihan akan terus diperkasakan bagi memastikan kesiapsiagaan pentadbir sekolah, guru dan warden," katanya.
Zara Qairina merupakan pelajar sebuah sekolah agama di Papar, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 16 Julai lalu.
Kematian Zara Qairina mencetuskan fenomena tanda pagar #JusticeforZaraQairina yang memberi tekanan terhadap KPM dan pihak berkuasa, susulan pendedahan individu yang mendakwa sebagai ahli keluarga mangsa di Facebook menjadi tular.