Pagi yang tenang di sekitar Taman Tugu, Kuala Lumpur, bertukar menjadi saksi langkah penuh makna. Sekumpulan aktivis pelajar bersama pertubuhan bukan kerajaan bergerak beriringan, membawa sepanduk dan suara yang lantang menuntut keadilan pada Selasa.
Mereka tidak datang untuk mencetuskan kekecohan tetapi menyampaikan satu mesej jelas iaitu buli perlu dihentikan dan keadilan perlu ditegakkan!
Dengan penuh tekad, mereka berarak menuju ke pintu masuk utama Parlimen, membawa memorandum #KeadilanUntukZara merujuk kepada kes tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang menjadi mangsa dalam insiden menyayat hati. Suasana hening seketika ketika memorandum itu diserahkan, namun isinya bergema kuat di hati semua yang terlibat.
Bagi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tuntutan itu bukan sekadar kertas bertulis tetapi amanah berat yang perlu dipikul. Dalam reaksi, beliau mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan bagi memberi penerangan terperinci mengenai garis panduan menangani salah laku buli.
“Kementerian terbuka menerima pandangan dan cadangan untuk menambah baik garis panduan sedia ada,” ujarnya sambil menegaskan bahawa semua institusi pendidikan di bawah KPM wajib mematuhinya.
Namun, usaha itu bukan setakat perbincangan. Fadhlina menggariskan langkah-langkah konkrit seperti audit keselamatan di sekolah, penambahbaikan sistem aduan, penubuhan jawatankuasa reformasi keselamatan, tindakan tegas termasuk penggantungan atau buang sekolah terhadap pelaku buli dan pengukuhan sokongan psikososial di setiap peringkat. Latihan mandatori serta berkala untuk guru, pentadbir dan warden juga akan diperkasa agar mereka bersedia menangani krisis, mengurus emosi pelajar dan bertindak profesional dalam setiap aduan.
Mengenai kes Zara, Fadhlina menegaskan bahawa KPM akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan pihak polis. Perkembangan kes ini akan dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari semasa ke semasa dan KPM menyambut baik langkah PDRM menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu itu.
Di Bangunan Parlimen pada hari yang sama, Fadhlina menerima wakil aktivis pelajar untuk berbincang lebih lanjut tentang kebimbangan yang dibangkitkan. Ia adalah pertemuan yang diharap menjadi titik mula kepada perubahan besar yang mampu menjadikan sekolah tempat paling selamat untuk anak-anak belajar, berkawan dan membesar.
Perjalanan mencari #KeadilanUntukZara masih panjang, namun satu perkara pasti iaitu isu buli kini berada di bawah perhatian serius dan langkah untuk menghapuskannya telah pun dimulakan!