Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil langkah proaktif membendung gejala buli dan masalah disiplin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan melantik bekas anggota polis dan tentera sebagai warden sepenuh masa.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kumpulan pertama warden ini akan memulakan tugas di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang mulai Isnin ini.
"Ini inisiatif baharu Mara untuk memastikan isu buli dapat dikekang dan persekitaran pembelajaran kekal selamat serta sejahtera buat semua pelajar. Warden-warden yang dipilih telah melalui proses tapisan ketat, termasuk sesi temu duga komprehensif bagi memastikan mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan," katanya.
Dalam amanatnya kepada warden lantikan baharu itu, Asyraf Wajdi mengingatkan bahawa asrama MRSM adalah 'rumah kedua' bagi para pelajar.
"Di sinilah mereka belajar tertib, adab hidup bermasyarakat, mengurus masa dan memahami amanah serta tanggungjawab. Peranan warden bukan sekadar menjaga rutin harian tetapi sebagai pendidik watak dan ibu bapa kedua memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina dan kasih sayang dibudayakan," ujarnya.
Beliau menegaskan, tiada kompromi terhadap salah laku pelajar, namun pendekatan yang diambil mestilah berteraskan pendidikan, pemulihan dan keadilan.
Beliau turut menyatakan harapan agar MRSM menjadi contoh sekolah berasrama terbaik di negara ini iaitu selamat, berdisiplin, beradab dan membahagiakan.
"Warden yang tegas pada prinsip, bijaksana dalam pendekatan, mendengar sebelum menghukum, menasihat sebelum menegur dan memulih sebelum mendisiplin, mampu membentuk persekitaran kondusif untuk melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja akademik, malah sahsiah," katanya.
Tahniah Sinar Bestari ucapkan kepada Asyraf Wajdi dan barisan warden asrama MRSM yang baharu.
Semoga pelantikan bekas anggota beruniform sebagai warden sepenuh masa ini dijangka diperluaskan ke MRSM lain secara berperingkat selepas penilaian keberkesanannya dilaksanakan.