'Anak saya dibuli sampai alami gegaran otak' - Ibu mangsa buli

Iklan
Kanak-kanak berusia 10 tahun ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta pada Mac lalu. Foto: Ihsan Keluarga

Seorang ibu meluahkan rasa kecewa apabila anak lelakinya yang juga pesakit kanser hidung bukan sahaja menjadi mangsa buli, malah mengalami gegaran otak sehingga menjejaskan kehidupannya.

Siti Suhana Misdi, 39, berkata, anaknya, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, dipukul seorang murid Tahun Enam pada 21 Februari lalu di sebuah sekolah agama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perbuatan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak berpuas hati selepas kakak kepada mangsa menolak cinta murid lelaki berusia 12 tahun itu.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang apabila anak saya dipukul, ditendang, kepala dihentak di kiri dan kanan serta dipaksa menanggalkan pakaian. Akibatnya, dia kerap mengadu sakit kepala hingga tubuh menjadi lemah.

Iklan

"Doktor mengesahkan dia mengalami gegaran otak dan memerlukan rawatan intensif di hospital swasta dari 12 hingga 26 Mac," katanya.

Siti Suhana berkata, dia hanya mengetahui perkara itu selepas anak perempuannya mendedahkan kejadian pada 24 Mac kerana bimbang keadaan adiknya semakin teruk.

Iklan

Dia membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti pada 26 Mac, namun difahamkan kes berkenaan tidak sesuai untuk dibuka kertas siasatan dan tindakan yang diambil hanyalah sesi perjumpaan antara kedua-dua keluarga.

"Sehingga kini saya tidak berpuas hati kerana kesan pada anak saya amat mendalam. Dia tidak mampu menumpukan perhatian pada pelajaran mahupun bersukan. Doktor juga maklumkan proses penyembuhan mungkin mengambil masa tiga tahun serta berisiko sawan jika terjatuh atau pengsan," katanya.

Lebih malang, katanya, Izzul Islam sekali lagi menjadi mangsa buli pada 7 Ogos lalu di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai, Johor sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

"Dalam kejadian jam 10 pagi itu, pelaku berbeza memukul kepala anak saya dengan tangan. Saya tidak tahu mengapa dia sering dijadikan sasaran, mungkin kerana dianggap lemah akibat penyakit. Sedangkan, keadaannya kini pulih 80 peratus selepas rawatan kanser hidung sejak dua tahun lalu," katanya.

Beliau berharap tindakan tegas diambil bagi mengelakkan kejadian sama menimpa murid lain.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sudah mengambil maklum berhubung aduan tersebut.

"Murid berkenaan dan keluarganya juga telah dikunjungi bagi tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.