'Sekolah rendah bukan medan buli!' Sultan Ibrahim beri peringatan

Iklan

Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengenai usaha membendung budaya buli sejak sekolah rendah wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak, khususnya warga sekolah.

Realitinya, isu buli bukan sekadar gurauan kecil atau perlakuan nakal sesama rakan, sebaliknya ia adalah barah yang mampu merosakkan emosi, keyakinan diri, malah masa depan seorang murid.

Iklan
Iklan

Di sekolah rendah, murid berada pada fasa pembentukan nilai, akhlak dan jati diri. Jika pada usia sekecil itu mereka sudah terdedah dengan perlakuan buli tanpa bimbingan dan tindakan tegas, maka lahirlah generasi yang menganggap menindas orang lain sebagai perkara biasa.

Lebih membimbangkan, budaya ini akan terus terbawa-bawa hingga ke sekolah menengah, universiti malah alam pekerjaan kelak.

Iklan

Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat buat pelajar. Guru, pentadbir dan kakitangan pula mesti berperanan sebagai pelindung yang memastikan setiap murid datang ke sekolah dengan hati yang tenang, tanpa rasa takut untuk diejek, dipukul atau dipinggirkan.

Namun usaha ini tidak akan berjaya jika hanya bergantung pada tindakan disiplin semata-mata. Pendidikan tentang hormat, empati dan kasih sayang perlu diserapkan dalam pengajaran seharian. Murid mesti diberi kefahaman bahawa mengejek rupa paras, status keluarga atau prestasi pelajaran rakan bukanlah hiburan, sebaliknya satu bentuk penderaan.

Iklan

Dalam hal ini, guru memegang amanah besar. Mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi juga menjadi cermin nilai kepada anak didik. Setiap teguran, setiap cara mendisiplinkan murid dan setiap interaksi kecil boleh meninggalkan kesan mendalam.

Guru yang tegas tetapi penuh hikmah akan membentuk pelajar yang berdisiplin, manakala guru yang berlembut tetapi jelas prinsipnya akan menanamkan rasa hormat dalam diri murid.

Di samping itu, sekolah perlu menyediakan ruang selamat bagi mangsa meluahkan rasa dan melaporkan kejadian buli tanpa rasa takut. Sistem sokongan seperti kaunseling, program mentor-mentee dan aktiviti berasaskan nilai murni harus digerakkan secara berterusan, bukan sekadar ketika isu ini menjadi tumpuan media.

Titah Seri Paduka Baginda menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu, menekankan keperluan mendidik anak-anak mengenai erti saling menghormati dan berdisiplin sejak kecil sangat bertepatan dengan cabaran pendidikan masa kini.

Dunia sekolah tidak lagi sekadar berdepan dengan buli fizikal, malah dihantui dengan buli siber yang kadangkala lebih kejam kerana berlaku tanpa wajah dan nama sebenar. Murid-murid yang masih mentah dalam mengurus emosi mudah terjerat dengan trauma apabila menjadi mangsa hinaan di alam maya.

Justeru, usaha membanteras budaya buli tidak boleh dipandang ringan atau ditangguhkan. Setiap sekolah perlu menjadikannya agenda utama, setiap guru perlu menjadikannya misi peribadi dan setiap murid perlu disedarkan bahawa buli bukan sahaja melukakan orang lain tetapi juga merosakkan nilai kemanusiaan dalam diri mereka.

Titah Agong perlu dilihat sebagai peringatan yang menyedarkan kita semua. Jika sekolah mampu menjadi benteng yang utuh, anak-anak akan membesar dalam suasana penuh hormat, kasih sayang dan disiplin. Dari sekolah inilah akan lahir generasi masa depan yang bukan sahaja bijak dalam akademik tetapi juga luhur budi pekerti serta berjiwa penyayang.