Buli jadi budaya buruk di Malaysia - Raja Permaisuri Agong

Iklan
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah isu buli di sekolah kini semakin membimbangkan apabila ia dilihat sudah menjadi satu budaya buruk yang berleluasa di Malaysia.

Baginda melahirkan kebimbangan, buli di sekolah berlaku lebih kerap daripada yang disangka, malah ia benar dan ia berleluasa.

Iklan
Iklan

Raja Zarith Sofiah bertitah, sekolah dan universiti sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak.

"Sekolah dan institusi pendidikan termasuk universiti sepatutnya menjadi tempat di mana anak-anak kita berasa selamat.

Iklan

"Bagaimanapun, hakikatnya tempat itu menjadi mimpi ngeri bagi pelajar yang menjadi mangsa buli rakan sebaya," titah Seri Paduka menerusi blog baginda.

Menurut Raja Permaisuri Agong, antara sebab mangsa memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu rakan-rakan mereka menjadi sasaran seterusnya.

Iklan

"Dalam satu lagi perbualan dengan seorang kenalan, saya difahamkan bahawa antara sebab pelajar enggan mendedahkan identiti pembuli ialah kerana mahu melindungi rakan-rakan mereka.

"Jika mereka melaporkan tentang pembuli, rakan-rakan mereka pula akan menjadi sasaran. Maka mereka memilih untuk berdiam diri," titah baginda.

Raja Zarith Sofiah menekankan, ada dalam kalangan mangsa bernasib baik kerana dapat berpindah sekolah, namun ada juga terpaksa kekal menanggung penderitaan kerana tiada pilihan lain.

Mengimbas tragedi lampau, baginda menyebut kes kematian Zulfarhan Osman Zulkifli pada 2017 akibat kesan melecur serta T Nhaveen dari George Town yang meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di kepalanya pada tahun sama.

"Kedua-duanya adalah mangsa buli," titah baginda.

Justeru, Raja Permaisuri Agong turut mempersoalkan sama ada masyarakat mengabaikan isu tersebut hanya kerana ia tidak berlaku kepada anak sendiri.

"Haruskah seorang lagi remaja atau belia mati dengan derita sebelum kita berkata cukup?

"Berapa ramai lagi ibu bapa dan keluarga harus menanggung derita dan pilunya kehilangan insan tersayang?," titah Raja Zarith Sofiah.

Baginda menegaskan, sudah tiba masanya soalan-soalan itu dijawab, jika benar-benar ingin dikenali sebagai sebuah masyarakat penyayang.

Baginda turut menegaskan, anak-anak, remaja dan belia tidak seharusnya takut untuk ke sekolah atau universiti kerana risiko dibuli, manakala ibu bapa pula tidak wajar terus dibebani dengan kebimbangan keselamatan anak mereka.

"Tanggungjawab bersama kita sebagai masyarakat memastikan setiap nyawa yang terkorban di tangan pembuli tidak berakhir dengan sia-sia," titah baginda.