SD Guthrie Berhad (Guthrie) terus mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan pendidikan dan komuniti apabila menyerahkan lapan unit papan pintar interaktif kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram.
Sumbangan adalah sebahagian daripada program Sekolah Angkat Madani SD Guthrie yang melibatkan 15 sekolah terpilih di seluruh negara.
SMK Jeram menjadi sekolah kelima menerima manfaat selepas dua buah sekolah di Sarawak iaitu SK Sri Simalajau dan SK Desa Lavang serta SK Ladang Dublin di Kedah dan SK Seri Pinang di Perak.
Melalui program ini, Guthrie berhasrat memastikan setiap sekolah angkat menerima kemudahan yang lebih baik selaras dengan usaha memperkasakan kualiti pendidikan generasi muda.
Pada majlis sama, Guthrie turut melancarkan program sukan ‘Jack-ke-Sekolah’ yang diilhamkan oleh Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) dengan sokongan Yayasan Sime Darby (YSD).
Program ini diperkenalkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar dan guru mengenai sukan boling padang, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan bakat baharu di peringkat akar umbi.
Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, Guthrie sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada penerima.
Katanya, pelaburan dalam infrastruktur pendidikan adalah usaha penting untuk bersama-sama memperkasa generasi masa depan, selaras dengan seruan kerajaan agar sektor swasta lebih aktif meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Guthrie menyokong usaha-usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat, sama ada di dalam mahupun di sekeliling kawasan operasi kami. Di Malaysia, kami telah lama bekerjasama dengan Yayasan Sime Darby dalam pelbagai inisiatif filantropi yang memberi tumpuan kepada pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan masyarakat, seni dan budaya serta pembangunan sukan.
"Komitmen ini diteruskan lagi melalui program Sekolah Angkat Madani SD Guthrie yang mengenal pasti 15 sekolah untuk diberikan sumbangan infrastruktur yang lebih baik. Ini adalah pelaburan penting untuk kita bersama-sama memperkasa generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden PLBM, Datuk Awalan Abdul Aziz menyatakan pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Guthrie dan YSD melalui program ‘Jack-ke-Sekolah’.
Menurutnya, inisiatif itu mampu menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, selain memperkukuh ekosistem bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan boling padang di seluruh negara.
Selain SMK Jeram, sekolah angkat Guthrie yang lain ialah SK Jubli Intan di Johor, SJK (T) Ladang Mentakab di Pahang, SK Abaka di Sabah, SK Ladang Sapong di Sabah, SK Kemendor di Melaka, SMK Pulau Carey di Selangor, SJK (C) Ladang Siliau di Negeri Sembilan, SJK (T) Pulau Carey Timur di Selangor, SMK Setia Wangsa di Pahang dan SMK Seri Bali di Johor.
Setiap sekolah ini akan dipantau oleh seorang ahli pengurusan tertinggi Guthrie bagi memastikan bantuan yang disalurkan menepati keperluan.
Dengan slogan utama Care to Nourish, Dare to Flourish, Guthrie menegaskan komitmennya untuk menyiapkan generasi muda dengan akses pendidikan yang lebih baik di samping memupuk gaya hidup sihat dan aktif melalui sukan. Syarikat itu juga menyasarkan semua 15 sekolah angkat disantuni sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.