Cuti Penggal 2 bagi sesi persekolahan 2025/2026 bakal bermula tidak lama lagi sekali gus memberi peluang kepada semua pelajar untuk berehat seketika daripada rutin harian yang padat dengan jadual kelas, kerja sekolah dan peperiksaan.
Menurut Kalendar Akademik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), cuti ini akan bermula pada pertengahan September, dengan tarikh yang berbeza mengikut kumpulan negeri.
Bagi Kumpulan A yang melibatkan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu, para pelajarnya akan mula bercuti dari 12 hingga 20 September.
Manakala Kumpulan B (Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya) akan menikmati cuti dari 13 hingga 21 September.
Penulis yakin, tempoh sembilan hari bagi pelajar di Kumpulan A dan B pastinya menjadi ruang terbaik untuk mereka mengatur masa dengan aktiviti bermanfaat sama ada menyiapkan tugasan sekolah, mengulang kaji pelajaran dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Sementara itu, penulis ingin berkongsi bahawa September tahun ini sememangnya istimewa kerana dipenuhi dengan beberapa cuti umum yang pastinya dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Antara tarikh penting yang bakal memberi peluang untuk semua khususnya pelajar dan guru berehat seketika ialah:
- 1 September (Isnin): Cuti Hari Kebangsaan
- 5 September (Jumaat): Maulidur Rasul
- 15 September (Isnin): Cuti Tambahan sempena Hari Malaysia 2025 / Cuti Penggal 2
- 16 September (Selasa): Cuti Hari Malaysia 2025 / Cuti Penggal 2
Gabungan antara Cuti Penggal 2 dengan cuti umum ini sememangnya memberi ruang lebih panjang untuk guru dan pelajar mengatur masa mereka dengan aktiviti berfaedah.
Selain menjadi tempoh rehat yang dinanti-nantikan selepas melalui jadual persekolahan yang padat, ia juga boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kemahiran diri.
Selamat bercuti!