Sejak September lalu, seramai 42,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah menikmati manfaat tuisyen digital percuma menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Ketua Pejabat NADI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohd Arif Adenan berkata, program di bawah inisiatif Digital Learning dan e-Kelas itu dilihat banyak membantu pelajar terutama daripada keluarga B40 yang sukar mendapatkan akses kelas tambahan sebelum ini.
“Untuk melahirkan masyarakat inovatif, pendidikan adalah elemen yang tidak boleh diketepikan.
Melalui NADI, pelajar dapat ikuti tuisyen percuma secara dalam talian dan seorang guru boleh mengajar ramai pelajar serentak di 1,099 pusat NADI seluruh negara,” katanya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan di Bernama TV.
Menurut beliau, capaian internet yang stabil di pusat NADI membolehkan kelas digital berjalan lancar, selain membuka ruang kepada lebih ramai pelajar meningkatkan prestasi akademik.
Selain pendidikan, peranan pusat NADI kini semakin luas termasuk usaha merapatkan jurang digital kepada platform pemerkasaan komuniti melibatkan akses perkhidmatan kerajaan, program keusahawanan, kesihatan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali berkata, kewujudan NADI turut menjadi pemangkin ekonomi khususnya kepada usahawan luar bandar.
“Melalui program NADI Usahawan, ada peserta berjaya meningkatkan jualan sehingga 70 hingga 80 peratus hasil promosi dalam talian. Malah, capaian internet di NADI antara 100 megabit per saat hingga satu gigabit per saat, lebih laju daripada keperluan asas,” ujarnya.
Menariknya, Projek Inklusif Digital NADI Malaysia yang dilaksanakan di Pulau Banggi, Sabah dinobatkan sebagai Johan Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) 2025 pada Julai lalu.
Mohd Arif menegaskan, kejayaan itu membuktikan kerajaan komited untuk memastikan tiada rakyat yang dipinggirkan.
“Melalui inisiatif Satu DUN Satu NADI, pusat ini turut diwujudkan di pulau-pulau terpencil seperti Pulau Tuba, Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Pulau Aman serta di kampung Orang Asli bagi memastikan mereka juga mendapat akses internet dan pelbagai program bermanfaat,” jelasnya.