Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat tiada keperluan untuk mengambil pesara tentera atau polis sebagai warden asrama sekolah pada masa ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, peranan warden amat penting kerana asrama bukan sekadar tempat tinggal pelajar, sebaliknya berfungsi sebagai sebahagian daripada institusi pendidikan.
"Asrama perlu dilihat sebagai tempat anak-anak bukan sahaja menetap, tetapi juga mengikuti aktiviti sokongan pendidikan yang disusun khas untuk membentuk sahsiah mereka.
"Sebab itu warden dalam kalangan guru amat penting kerana mereka boleh merancang dan melaksanakan aktiviti pendidikan di asrama," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-63 di Grand River View, Kota Bharu, Kelantan.
Menurutnya, KPM sedang meneliti beberapa cadangan termasuk menambah jumlah warden serta memberi insentif sewajarnya bagi mengurangkan bebanan tugas sedia ada.
Ujarnya, ada juga cadangan melibatkan guru luar norma iaitu guru yang hanya mengajar empat atau lima waktu seminggu.
"Manakala selebihnya mereka boleh memberi tumpuan kepada perancangan aktiviti pendidikan dan kebajikan pelajar di asrama," kata Mohd Azam.