Youth Summer Camp 2025 (YSC 2025) berjaya menghimpunkan puluhan belia lepasan asasi dan matrikulasi dari seluruh negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kem anjuran Pertubuhan Pemimpin Sukarelawan Malaysia (YOSH) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) bermatlamat membina generasi muda yang berdaya saing, berkarakter dan berjiwa sukarelawan,
Ia juga menekankan aspek kepimpinan, pembinaan karakter dan kesedaran sosial yang selari dengan cabaran semasa belia.
Antara pengisian paling meninggalkan kesan ialah aktiviti community engagement di mana peserta berpeluang menyantuni masyarakat melalui khidmat komuniti serta social experiment yang menguji keberanian mereka untuk berinteraksi dengan pelbagai lapisan rakyat.
Lebih unik, slot hand painting turut diadakan bersama komuniti sebagai medium meluahkan nilai kebersamaan dan mesej positif melalui seni.
Hasil karya berwarna-warni itu menggambarkan semangat prihatin belia terhadap masyarakat dan negara.
Seterusnya, YSC 2025 turut menampilkan barisan penceramah jemputan berprofil tinggi daripada pelbagai bidang termasuk keusahawanan, pendidikan, pembangunan komuniti dan digital virality.
Kisah kejayaan mereka yang berjaya menjana jutaan ringgit pada usia muda menjadi inspirasi kepada peserta agar lebih berani melangkah keluar daripada zon selesa.
Salah satu slot akademik utama iaitu Eagle View: Forum on Student Empowerment mendapat perhatian istimewa dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (TNC) UKM, Profesor Ts Dr Norinsan Kamil Othman.
Beliau menekankan tentang keperluan belia menguasai kemahiran abad ke-21 dan bersedia menghadapi cabaran kepimpinan di era globalisasi.
YSC 2025 wajar diperluaskan
Sementara itu, Pengarah YSC 2025, Haziq Fikri berkata, meskipun sibuk menjalani latihan chambering, beliau tetap menggalas amanah sebagai pengarah kerana yakin program tersebut penting dalam melahirkan generasi Muslim yang holistik dan beriman.
"Ini adalah amanah daripada ALLAH yang perlu saya laksanakan sebaiknya," ujarnya.
Manakala Timbalan Pengarah Kolej Tun Syed Nasir UKM KL, Dr Siti Hajar pula menyifatkan inisiatif sebegini wajar diperluaskan.
"Program di bawah YOSH ini sangat bagus dan wajar menggalakkan lebih ramai belia universiti untuk menyertainya," jelas beliau.
Menariknya, YSC 2025 tidak berakhir dengan tamatnya program lima hari tersebut.
Peserta akan terus dibimbing melalui sesi mentoring dan coaching susulan agar ilmu serta kemahiran yang diperoleh dapat berkembang dalam kehidupan seharian.
Bagi peserta alumni Asasi Sains UiTM Dengkil, Siti Nurulaishah Mohd Radzi, kem itu menjadi tempat yang mempertemukan individu dengan matlamat sama.
"Antara yang saya suka tentang YSC 2025 ini adalah ia menjadi tempat berkumpulnya mereka yang mempunyai keinginan sama untuk menjadi yang terbaik," katanya.
Akhir sekali, kejayaan YSC 2025 membuktikan bahawa belia Malaysia memiliki potensi besar sebagai agen perubahan.
Dengan gabungan ilmu, kreativiti, kepimpinan dan jiwa sukarelawan, generasi muda ini diyakini mampu menjadi penyumbang aktif kepada pembangunan ummah dan negara, bukan sekadar pengguna pasif dalam dunia moden.