Kejayaan 19 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menempatkan diri di universiti terbaik dunia membuktikan bahawa anak-anak muda Malaysia memiliki bakat luar biasa dan berdaya saing di pentas global.
Pelajar yang merupakan kumpulan Ambilan 2023 itu diterima masuk ke universiti berprestij dalam senarai Top 20 QS World University Ranking Global termasuk University of Cambridge, Imperial College London, University College London, King’s College London, The London School of Economics and Political Science (LSE) serta The University of Edinburgh.
Antara pelajar cemerlang itu ialah Muhammad Umar Nor’azim yang akan meneruskan pengajian bidang Sains Psikologi dan Tingkah Laku di University of Cambridge, Chng Suzanne dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi di Cambridge serta Rubinthiran Yogarajah dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Imperial College London.
Turut mencatat pencapaian membanggakan ialah Muhammad Fitri Hatim Zainuddin yang melanjutkan pengajian Matematik di King’s College London, Danish Hariz Ahmad Kamarul dalam bidang Perakaunan dan Kewangan di LSE dan Imran Arif Mokhtar yang akan menimba ilmu Fizik di University of Edinburgh.
Menurut JPA, pencapaian gemilang ini adalah hasil usaha gigih, disiplin tinggi dan daya juang luar biasa para pelajar dan pendidik sepanjang mengikuti pengajian peringkat A-Level. Kejayaan berkenaan bukan sahaja mengharumkan nama keluarga dan institusi pendidikan, malah membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan generasi berkelas dunia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan mereka mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam melahirkan modal insan unggul berkelas dunia, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berprestasi tinggi, berdaya saing dan disegani di pentas global,” menurut kenyataan itu.
JPA turut menegaskan bahawa para pelajar ini membawa amanah besar sebagai duta kecil negara yang mencerminkan citra rakyat Malaysia berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Mereka diharap dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang sebelum kembali menyumbang tenaga sebagai modal insan berkualiti tinggi yang akan memacu pembangunan negara pada masa hadapan.