Pemergian lima penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu yang maut dalam kemalangan di simpang Rela Gayang, Jalan Gayang-Tuaran, Sabah pada Jumaat, dilihat sebagai satu kehilangan besar kepada negara dalam usaha melahirkan tenaga mahir.
Facebook TVETMARA dalam satu hantaran merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga serta rakan-rakan mangsa.
"Lima pelajar yang terkorban merupakan penuntut Diploma Kompetensi Elektrik (Domestik & Industri) (PW4), Semester 4, IKM Kota Kinabalu.
"Semoga keluarga mereka tabah dan diberi kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini," menurut hantaran itu.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish yang dinaiki kesemua mangsa dipandu laju sebelum hilang kawalan, lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori membawa muatan batu.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, semua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
Beliau berkata, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kesemua mangsa ialah Harianto Anuar, Neil Stanley Pletinie, Mohammad Ikhwan Kurniawan, Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy dan Daniel Sarag Jimmy.
Pemergian mereka bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga dan rakan-rakan, malah dianggap satu kehilangan besar kepada negara yang sedang membangunkan tenaga mahir dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).