RUU Antibuli: KPM setuju adakan townhall libatkan suara pelajar - Fadhlina

Iklan
Fadhlina

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju dengan cadangan supaya sesi townhall bagi merangka Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli turut melibatkan murid sekolah rendah dan menengah, bagi memastikan suara serta pandangan mereka diambil kira.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu selaras dengan prinsip libat urus menyeluruh memandangkan pelajar merupakan pemegang taruh utama dalam isu berkaitan buli.

Iklan
Iklan

"Kita tidak ada masalah dengan cadangan itu. Saya fikir ia satu proses yang biasa kita lakukan di peringkat kebangsaan iaitu mendapatkan pandangan terus daripada pelajar.

"Natijahnya, kita mahu sesi ini benar-benar mencerminkan suara kanak-kanak dan pelajar kerana mereka pihak yang paling terkesan dalam isu ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Temu Rakyat Peringkat Parlimen Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Sabtu.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM sedang menyiasat aduan melibatkan seorang murid perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan mengalami trauma, kemurungan dan kecenderungan mencederakan diri selepas didakwa menjadi mangsa buli.

"Ketua Pengarah Pendidikan sedang menyiasat perkara ini dan tindakan lanjut akan diambil segera," katanya.

Iklan

Pada 23 September lalu, media melaporkan kes seorang pelajar Tingkatan Dua yang didakwa trauma selepas dibuli rakan sekolah hingga mengalami kemurungan serta kecenderungan mencederakan diri sendiri.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, program Temu Rakyat di kawasan tersebut akan diadakan setiap bulan bagi merapatkan hubungan kerajaan dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata, pelbagai agensi kerajaan turut digabungkan dalam program itu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat zakat dan lain-lain, bagi memudahkan rakyat menyelesaikan isu dokumentasi, kebajikan, pendidikan, perumahan serta kesihatan.

"Antara inisiatif ialah tawaran diskaun 50 peratus saman trafik oleh PDRM, selain program Mekar KDN, bantuan zakat serta pelbagai kaunter khidmat kerajaan," katanya. - Bernama