Sultan Mizan rasmi sambutan 100 tahun SMK Sultan Sulaiman

Iklan

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini berkenan merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini.

Turut berangkat pada majlis bersejarah itu ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah; Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail; Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mua'az; Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah; dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.

Iklan
Iklan

Bertemakan 'Seabad Gemilang', SMK Sultan Sulaiman yang ditubuhkan pada tahun 1921 telah melahirkan ramai tokoh, pemimpin dan profesional yang berbakti kepada agama, bangsa serta negara.

Pengerusi Jawatankuasa Induk penganjuran sambutan, Datuk Seri Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata, objektif program ini adalah untuk mengimbau sejarah penubuhan dan perkembangan sekolah sebagai institusi pendidikan unggul di Terengganu, selain menghargai jasa bakti para guru, pentadbir, kakitangan serta sokongan komuniti sepanjang 100 tahun penubuhan.

Iklan

"Program ini juga bertujuan menyemai semangat kebersamaan antara warga sekolah dan alumni dalam usaha melangkah ke masa depan yang lebih cemerlang. Pelbagai program telah diatur sepanjang sambutan ini dari Ogos hingga November 2025," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Pada majlis itu, Sultan Mizan turut berkenan melawat Galeri Junjung Setanggi SMK Sultan Sulaiman, yang mempamerkan arkib foto alumni dan pingat-pingat yang berjaya diraih oleh pelajar.

Iklan

Menurut Tengku Farouk Husin, antara program yang diatur termasuk Kempen Adopsi dan Penanaman Pokok Diraja, Kejohanan Golf Alumni, Forum Kerjaya Usaha Tekun Jaya, Kejohanan Ragbi 10 Sepasukan, Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Tahun, dan Malam Gala.

"Selain itu, kita juga akan mengadakan jamuan alumni, majlis solat hajat, karnival, program bersih pantai dan lain-lain. Dana yang dijana daripada Malam Gala akan digunakan untuk pembangunan jangka panjang sekolah," katanya. - Bernama