Kisah Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, 25, kini menjadi bualan hangat bukan sahaja di media sosial tetapi juga di kampus apabila pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini tampil berani menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Keputusan itu dilihat luar biasa, apatah lagi usianya masih muda dan penuh dengan cabaran sebagai mahasiswa.
Bagi Haroqs, peluang itu bukan sekadar perjalanan fizikal ke bumi Palestin, tetapi sebuah amanah besar yang dirasakannya sebagai panggilan Allah.
“Saya anggap ini mesej daripada ALLAH, satu peluang yang saya tak boleh tolak,” katanya yang juga aktif sebagai pencipta kandungan dan aktivis belia. Keberanian Haroqs sekali gus mencerminkan suara generasi muda Malaysia yang semakin prihatin terhadap isu kemanusiaan sejagat.
Perjalanannya bagaimanapun penuh ujian. Kapal pertama yang sepatutnya membawa flotilla tidak dapat berlayar, manakala kapal kedua pula rosak ketika dalam pelayaran. Haroqs terkandas di Sepanyol selama beberapa hari, namun tidak pernah patah semangat. Baginya, semua itu adalah ujian yang perlu ditempuh dengan sabar.
“Saya reda… mungkinALLAH nak beri sesuatu yang lebih baik,” ujarnya, membuktikan ketabahan seorang anak muda yang masih menimba ilmu tetapi punya jiwa besar untuk berbakti.
Detik paling mendebarkan hadir apabila kapal Free Willy yang dinaiki akhirnya dipintas tentera Israel.
Sebelum itu, Haroqs sempat meninggalkan pesanan ringkas melalui sebuah rakaman video: “Enam jam lagi nak sampai Gaza, doakan kami…”
Kata-kata itu bukan sahaja menggambarkan debaran yang dirasai tetapi juga keberanian luar biasa seorang mahasiswa yang rela menggadai keselamatan demi menyampaikan mesej solidariti.
Biarpun risiko ditahan dan berdepan ancaman keselamatan begitu besar, Haroqs tetap memilih untuk melangkah. Baginya, doa adalah senjata paling kuat, manakala solidariti umat Islam seluruh dunia adalah penguat utama perjuangan Palestin.
Penyertaan Haroqs juga membuka mata banyak pihak bahawa pelajar universiti bukan sekadar menimba ilmu, tetapi mampu memainkan peranan besar dalam isu kemanusiaan global.
Kisah Haroqs wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda di Malaysia. Dari seorang mahasiswa UPSI yang dikenali di media sosial, beliau melangkah jauh ke medan penuh risiko demi Palestin.
Kisahnya membuktikan bahawa ilmu, keberanian dan iman adalah kombinasi yang menjadikan seorang insan kecil mampu membawa mesej besar buat dunia iaitu selagi doa terus dipanjatkan, perjuangan untuk Palestin tidak akan pernah padam.