Bukti strategi bakat berkesan

Iklan
Peserta dan penganjur program bergambar kenangan selepas 'Program Career Roadmap' sempena Festival TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025 di sebuah hotel, di Subang Jaya baru-baru ini.

Malaysia lonjak ke tangga 25 dunia, pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun

Malaysia melonjak lapan anak tangga di kedudukan ke-25 dunia dalam IMD World Talent Ranking 2025, sekali gus mencatat pencapaian terbaik negara dalam tempoh lima tahun.

Kejayaan itu hasil pendekatan holistik Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dalam memperkukuh daya saing tenaga kerja negara.

Iklan
Iklan

Naib Presiden Kanan, Kesetiausahaan Korporat, Sekolah dan Veteran TalentCorp, Mas Muhammad Hakim Masika berkata, kedudukan itu membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap kemampuan Malaysia menyediakan kumpulan bakat berkualiti bagi menyokong keperluan industri.

“Peningkatan ini mencerminkan usaha bersama kerajaan, industri dan institusi pendidikan dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta relevan dengan pasaran. Ia menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang bernilai ke dalam negara,” katanya.

Iklan

Menurut beliau, beberapa strategi utama dilaksanakan TalentCorp termasuk pengukuhan kerjasama rentas kementerian dan agensi, pembangunan bakat berasaskan data masa nyata, penubuhan MyMahir Future Skills Talent Council serta penyelarasan program dengan dasar negara seperti RMK-13, selain NIMP 2030.

Selain itu, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran turut menurun daripada 37.3 peratus pada tahun 2022 kepada 35.7 peratus pada suku pertama 2025.

Iklan

“TalentCorp menekankan pendekatan skills-first bagi memastikan bakat Malaysia bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah kemahiran teknikal dan insaniah yang diperlukan industri.

“Inisiatif seperti Yes! Rock The School, MyMahir SkillsLab dan Kolaborasi Industri-Akademia (IAC) memberi pendedahan awal serta laluan latihan bersesuaian untuk belia,” jelasnya.

Beliau berkata, transformasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi hijau turut membuka peluang baharu kepada Malaysia.

“Permintaan paling tinggi kini datang daripada bidang AI dan digital yang merangkumi 72 peratus peranan baharu muncul. Pada masa sama, peluang kerjaya turut berkembang dalam bidang hijau seperti pakar kelestarian, jurutera bioproses, serta peranan teknologi baharu seperti pengendali dron,” katanya.

Mas Muhammad Hakim percaya, dengan sokongan dasar kerajaan dan program pembangunan bakat yang dilaksanakan, Malaysia mampu menjadi hab teknologi digital serantau serta mencapai aspirasi negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030.