Mahasiswa Universiti Al-Azhar sekali lagi melakar inisiatif bermakna melalui projek Wakaf Quran yang disertai sukarelawan antarabangsa dari tujuh buah negara iaitu Bangladesh, Indonesia, Malaysia, Mesir, Nigeria, Rusia dan Turki.
Projek ini digerakkan bersama oleh pertubuhan pemuda YOSH MyFundAction yang memberi tumpuan kepada pelajar tahfiz serta anak-anak yang tidak mempunyai mushaf al-Quran atau hanya bergantung kepada mushaf yang lusuh.
Dengan adanya agihan mushaf baharu, para penerima kini lebih bersemangat dan mudah dalam menghafal serta mendalami kalam ALLAH.
Walaupun ramai dalam kalangan mereka terpaksa menggunakan al-Quran yang lusuh, semangat untuk terus belajar dan menghafal tidak pernah pudar.
Bagi pelajar Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Nur Sabrina Najib, 21, pengalaman menguruskan projek wakaf Quran ini memberi banyak pelajaran baharu dalam hidupnya.
Menjadi tulang belakang koordinasi projek, beliau berdepan cabaran mengatur jadual sukarelawan antarabangsa, mengurus logistik serta memastikan edaran mushaf berjalan lancar.
"Pada awalnya memang terasa berat untuk menguruskan projek, tetapi bila melihat mushaf sampai ke tangan anak-anak tahfiz, hilang segala penat. Saya rasa seolah-olah ALLAH sedang hadiahkan ketenangan yang tak ternilai.
"Saya juga selalu melihat kanak-kanak membaca dan membawa al-Quran lusuh mereka ke mana sahaja. Bila fikir mushaf baharu ini akhirnya sampai ke tangan mereka, hati jadi sebak. Kerana buat saya lebih sedar betapa bernilainya al-Quran dalam kehidupan mereka," ujarnya.
Seorang pelajar tahfiz berusia dalam lingkungan 10 tahun yang menerima mushaf baharu turut berkongsi kegembiraannya.
"Saya selalu guna Quran lama yang dah koyak, ada muka surat tercabut. Kadang-kadang susah nak baca. Tapi hari ni dapat Quran baru, saya rasa sangat gembira. Saya janji nak jaga Quran ni baik-baik dan terus mengamalkannya," katanya sambil tersenyum.
Bagi pelajar antarabangsa yang lain, projek ini menjadi wadah mendidik jiwa dengan nilai ihsan, ukhuwah merentas bangsa dan kasih sayang.
Ada yang menggambarkan pengalaman ini sebagai hadiah rohani yang sukar digambarkan dengan perkataan kerana mereka bukan sekadar menyumbang mushaf, tetapi juga menyampaikan cahaya al-Quran kepada insan yang benar-benar memerlukan.
Bagi Nur Sabrina, menguruskan projek dan pada masa sama menjadi sukarelawan bukanlah penghalang kepada pelajaran.
Malah, pengalaman ini menjadi satu bentuk kemahiran tambahan daripada kepimpinan, komunikasi sehinggalah pengurusan masa yang akhirnya turut membantu beliau lebih berdisiplin dalam akademik.
"Ilmu bukan hanya dibina dalam dewan kuliah, tapi juga di medan khidmat.
"Usia muda ini tak lama, kalau tak digunakan untuk benda yang bermanfaat, nanti cepat habis dengan perkara sia-sia. Saya teringat hadis Nabi SAW: 'Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain..." ujarnya.