Peruntukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada tahun 2026 naik kepada RM7.9 bilion, ketimbang RM7.5 bilion demi melahirkan lebih ramai bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi.
Menerusi peruntukan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis TVET Negara menerima RM45 juta antaranya bagi menerapkan ilmu teknologi digital dan AI kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok melalui Program IPT@Komuniti.
"Manakala institusi TVET Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disediakan 1.3 bilion ringgit untuk mendidik 79,000 penuntut TVET," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Beliau berkata, GiatMARA turut menawarkan latihan kepada lebih 13,000 golongan tumpuan termasuk pekerja gig.
"Kolej Komuniti menyediakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk komuniti rentan seperti OKU, warga emas, ibu tunggal dan Orang Asli.
"Kemudahan institusi TVET turut dinaik taraf. Umpamanya, membina hangar baharu di ADTEC Shah Alam untuk penyelenggaraan kapal terbang dan membina Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di UMT untuk bidang maritim dalam menyokong pembangunan ekonomi biru.
"Di samping itu, sebuah Kolej Vokasional baharu akan dibangunkan di Sabah," ujar beliau.