Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2026 dilaksanakan untuk anak muda membina jati diri, semangat kenegaraan dan kesukarelawan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak RM250 juta disediakan termasuk memulakan PLKN secara rintis di peringkat pendidikan tinggi sebelum pelaksanaan penuh pada 2027.
"Bermula tahun hadapan, had umur belia ditetapkan kepada 15 hingga 30 tahun supaya penyertaan dan sumbangan mereka kepada kemajuan negara lebih terarah dan benar-benar berkesan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Khazanah menyediakan RM200 juta untuk Program K-Youth yang memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik.
Bukan itu sahaja, Anwar mengumumkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjaya melatih hampir 5,000 peserta Industrial Boot Camp (IBC) dengan jaminan pekerjaan.
"Hampir RM30 juta disediakan bagi meneruskan manfaat IBC," katanya lagi.