6,000 murid di seluruh negara dijangkiti influenza - KPM

Iklan
Ketua Pengarah Pendidikan berkata, beberapa sekolah telah diarahkan tutup sementara atas nasihat PKD antaranya sebuah sekolah di Johor. Foto: IHSAN SINAR HARIAN

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan 6,000 murid di seluruh negara dijangkiti wabak influenza setakat ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, beberapa sekolah telah diarahkan tutup sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) antaranya sebuah sekolah di Johor.

Iklan
Iklan

"Setakat hujung minggu lalu, lebih kurang 6,000 murid dilaporkan dijangkiti influenza namun ia tidak berlaku di satu kawasan sahaja, sebaliknya melibatkan sekolah-sekolah berbeza di beberapa negeri,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Menurutnya, kementerian telah mengedarkan garis panduan pengurusan penyakit berjangkit kepada semua sekolah, institusi pendidikan guru (IPG), kolej matrikulasi dan institusi vokasional bagi memastikan semua warga sekolah mengambil langkah pencegahan segera.

Iklan

"Kita sudah berikan panduan kepada sekolah agar menggalakkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan aktiviti berkumpulan buat sementara waktu.

"Sekolah juga diminta merujuk kepada PKD masing-masing jika berlaku peningkatan kes,” katanya.

Iklan

Beliau menegaskan bahawa nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus menjadi panduan utama dalam menentukan tindakan lanjut termasuk penutupan sekolah sekiranya perlu.

"Kalau KKM atau Pejabat Kesihatan Negeri arahkan sekolah ditutup, kita akan akur serta-merta,” ujarnya.

Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Azam memberi jaminan bahawa KPM telah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan wabak itu yang akan menjejaskan pelaksanaan peperiksaan yang akan bermula pada 3 November ini.

"Saya telah arahkan pegawai di Lembaga Peperiksaan supaya bersedia dengan cabaran ini.

"Kita sudah ada pengalaman mengendalikan peperiksaan semasa pandemik Covid-19, jadi kita tahu bagaimana menyesuaikan pelaksanaan peperiksaan jika keadaan memerlukan," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa KPM mempunyai SOP khas untuk menguruskan calon yang sakit, termasuk membenarkan mereka menduduki peperiksaan di hospital atau lokasi alternatif dengan pemantauan rasmi.

Dalam masa sama, KPM menasihatkan semua sekolah supaya lebih peka terhadap simptom influenza dalam kalangan murid dan guru serta mengambil tindakan segera sekiranya terdapat tanda-tanda penularan.

"Sekiranya ada murid bergejala, pihak sekolah boleh benarkan mereka berehat atau mendapatkan rawatan.

"Tidak semua kes perlu bawa kepada penutupan sekolah ada yang cukup dengan cuti sakit individu," jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan murid dan menganggap isu kesihatan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan sekolah kekal sebagai persekitaran selamat dan kondusif.

"Keselamatan dan kesejahteraan murid adalah keutamaan kita. Kami akan terus pantau situasi ini bersama pihak kesihatan," katanya.