Kerja-kerja pembersihan dan penilaian kerosakan sedang giat dilaksanakan di empat sekolah yang terjejas akibat kejadian ribut di Teluk Panglima Garang, Selangor petang semalam, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Empat sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung.
Menurut kenyataan KPM, usaha baik pulih akan dilaksanakan dengan segera sebaik penilaian selesai bagi memastikan kemudahan di sekolah terlibat dapat digunakan semula dalam masa terdekat.
"Semua sekolah terjejas akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam tempoh terdekat bagi membolehkan proses pembelajaran dapat diteruskan serta memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah," menurut kenyataan itu.
KPM turut menyeru jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan pentadbir sekolah di seluruh negara untuk meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cuaca tidak menentu pada ketika ini, bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan seluruh warga pendidikan terpelihara. - Bernama