Teater 'Belotah Merungkai Kisah' bawa kanak-kanak kenali warisan bangsa

Iklan
Tiga murid berpeluang mengasah bakat di pentas besar bersama pelakon berpengalaman menerusi teater ‘Belotah Merungkai Kisah’.

Dalam arus dunia moden yang sarat dengan teknologi dan hiburan digital, pendedahan kanak-kanak terhadap kisah rakyat tempatan kian pudar.

Cerita-cerita legenda yang suatu ketika dahulu menjadi wadah pendidikan nilai, moral dan budi pekerti kini semakin tenggelam dalam limpahan kandungan media sosial serta aplikasi penstriman yang mudah diakses di hujung jari.

Iklan
Iklan

Namun, di sebalik arus globalisasi ini, usaha memperkenalkan semula khazanah budaya melalui pendekatan kreatif seperti pementasan teater kanak-kanak wajar dipuji.

Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga berperanan sebagai alat pendidikan tidak formal yang menyemai nilai murni, memperkukuh jati diri dan memupuk kecintaan terhadap warisan bangsa.

Iklan

Baru-baru ini, teater bertajuk 'Belotah Merungkai Kisah' telah dipentaskan di Dewan Muallim, Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak pada September lalu.

Iklan

Pementasan anjuran Seni Muallim bersama Anjung Seni Nila Kandi dengan sokongan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2025, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Port Ipoh serta beberapa agensi lain ini diadakan bersempena dengan Pementasan TraLokaL Cerita Rakyat Perak.

Usaha ini bertujuan mengangkat kembali kisah rakyat Perak seperti Puteri Limau Purut, Pak Kadok, Lagenda Ikan Tapah, Sang Kelembai, Si Puntum dan Bota (Gergasi) agar terus hidup dalam memori generasi baharu.

Di bawah arahan dan penulisan skrip oleh Syahidatul Munirah Badrul Munir, pementasan ini bukan sahaja mengetengahkan unsur tradisi dan sejarah, malah mendidik kanak-kanak tentang nilai keberanian, kejujuran serta kebijaksanaan menerusi watak-watak rakyat yang dekat di hati masyarakat.

Lebih menarik, pelakon utama teater ini terdiri daripada murid sekolah rendah seperti Muhammad Silmi Abshar Mohammad Faizal, Nur Hana Safiyyah Mohammad Faizal dari Sekolah Kebangsaan (SK) Proton City, Tanjong Malim, Perak dan Aryan Andika Azizuddin (SK Cyberjaya) yang diberi peluang untuk mengasah bakat di pentas besar bersama pelakon berpengalaman.

Melalui pengalaman ini, mereka bukan sahaja mempelajari seni lakonan, tetapi turut memahami makna di sebalik cerita rakyat yang sarat dengan pengajaran dan nilai murni.

Dengan pendekatan moden yang menggabungkan elemen paparan digital, muzik tradisional dan bahasa klasik, 'Belotah Merungkai Kisah' berjaya menarik minat penonton muda sekali gus membuktikan bahawa teater masih relevan sebagai medium pendidikan yang menyeronokkan dan mendidik.