Motivasi intrinsik vs ekstrinsik: Mengajar anak belajar bukan kerana markah

Iklan
Gambar kecil: Dr Sheikh Muszaphar Shukor

"Cemerlang dalam peperiksaan bukanlah jaminan masa depan, tetapi semangat untuk terus belajar itulah yang akan menentukan kejayaan sebenar." 

Saya sering bertemu pelajar yang sangat rajin menjelang minggu peperiksaan, namun kembali lesu selepas keputusan diumumkan.

Iklan
Iklan

Ada yang belajar semata-mata untuk markah, bukan kerana minat terhadap ilmu itu sendiri.

Fenomena ini bukan perkara baharu ia cerminan jurang antara motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik dalam dunia pendidikan kita hari ini.

Iklan

Motivasi ekstrinsik datang daripada faktor luaran ganjaran, pujian, markah atau tekanan ibu bapa. Ia penting, tetapi biasanya bersifat sementara.

Sebaliknya, motivasi intrinsik lahir daripada dalam diri rasa ingin tahu, kepuasan bila berjaya memahami sesuatu yang sukar atau kegembiraan meneroka dunia pengetahuan. Inilah motivasi yang kekal dan membentuk pelajar yang benar-benar cintakan ilmu.

Iklan

Apabila pelajar belajar kerana ingin tahu, mereka akan terus bertanya, mencuba dan tidak mudah berputus asa walaupun gagal.

Sebaliknya, apabila mereka belajar hanya kerana markah atau hadiah, minat itu mudah luntur sebaik ganjaran tiada.

Foto: Canva

Dalam satu sesi ceramah di sekolah, seorang pelajar bertanya saya,

"Dr, kenapa saya perlu belajar Sains kalau saya tak nak jadi saintis?"

Saya tersenyum dan menjawab,

"Sains bukan hanya tentang kerja, tapi tentang cara berfikir. Ia mengajar kita bertanya kenapa, bukan hanya menerima apa yang diberitahu." 

Soalan itu mungkin nampak kecil, tetapi ia menggambarkan bagaimana pelajar hari ini perlukan makna dalam pembelajaran.

Bila sesuatu topik dikaitkan dengan dunia sebenar mengapa ais cair, bagaimana tenaga bergerak atau mengapa bulan berubah bentuk pelajar mula melihat ilmu itu hidup dan relevan dengan diri mereka.

Motivasi intrinsik tidak berlaku secara automatik. Ia perlu disemai melalui suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan menghargai proses, bukan hanya keputusan.

Guru boleh memupuk motivasi intrinsik ini dengan memberi ruang kepada pelajar untuk bertanya dan mencuba idea sendiri.

Dalam suasana yang terbuka, pelajar tidak takut untuk salah, malah berani bereksperimen dengan pemikiran baharu.

Foto: Canva

Pada masa yang sama, guru boleh menghubungkan setiap topik dengan kehidupan seharian agar pelajar melihat kaitan antara apa yang dipelajari di dalam kelas dan dunia sebenar.

Paling penting, usaha pelajar perlu dihargai bukan hanya keputusan akhir.

Apabila pelajar tahu bahawa proses belajar itu sendiri diiktiraf, semangat mereka untuk terus mencuba akan tumbuh dengan lebih kukuh.

Ibu bapa pula memainkan peranan besar di rumah. Daripada bertanya"Dapat markah berapa?" cuba tanya"Apa yang kamu belajar hari ini yang menarik?".

Soalan kecil ini mengubah tumpuan daripada hasil kepada proses dan memberi mesej bahawa pembelajaran itu lebih penting daripada angka di atas kertas.

Dalam pengalaman saya sebagai angkasawan, saya juga pernah gagal berkali-kali sebelum berjaya dilancarkan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Tetapi setiap kegagalan mengajar sesuatu baharu tentang kesabaran, daya tahan dan keinginan untuk terus mencuba.

Pelajar yang mempunyai motivasi intrinsik tidak takut gagal, kerana mereka melihat kegagalan sebagai sebahagian daripada proses belajar.

Foto: Canva

Inilah mindset yang ingin kita bentuk di sekolah pelajar yang berani mencuba, berfikir sendiri dan sentiasa haus ilmu.

Kita mahu melahirkan generasi yang belajar bukan kerana disuruh, tetapi kerana mereka ingin tahu dan ingin berkembang.

Markah masih penting, tetapi ia tidak boleh menjadi satu-satunya ukuran kejayaan.

Apabila guru, ibu bapa dan pelajar sama-sama menghargai proses pembelajaran bukan sekadar keputusan akhir barulah kita dapat membina budaya ilmu yang sebenar.

Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Sejarah (mata pelajaran teras) semuanya menjadi indah apabila dipelajari dengan hati.

Kerana ilmu yang datang dari rasa ingin tahu, akan kekal jauh lebih lama daripada sekadar angka di kertas peperiksaan.

Foto: Canva

Maklumat penulis:

Felo Universiti Kebangsaan Malaysia, Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my