Setiap kali program ini dibawa ke sekolah, matlamat utamanya jelas memberi kesedaran kepada para murid tentang betapa pentingnya menggunakan air dengan penuh berhemat.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, tindakan ini seperti peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan tentang penjagaan air perlu bermula di peringkat sekolah.
"Melalui penerangan yang diberikan, murid-murid didedahkan kepada perjalanan sebenar air sebelum sampai ke rumah mereka.
"Air bukan sekadar keluar apabila pili dibuka, tetapi ia datang dari sungai dan empangan, melalui pelbagai proses rawatan, dipam ke takungan dan seterusnya mengalir melalui rangkaian paip," katanya kepada Sinar Bestari.
Dengan pendedahan ini, pihak Air Selangor mengharapkan pelajar lebih memahami bahawa air ialah sumber amat penting untuk negara, dunia dan kelestarian masa depan.
Adam Saffian berkata lagi, harapan besar diletakkan pada penyertaan yang lebih kreatif dan hebat dalam pertandingan kali ini.
"Usaha ini memastikan masyarakat dapat melihat hasil kreativiti murid sekolah rendah dan menengah yang berperanan menyampaikan kesedaran kepada pemegang taruh di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," tambahnya.