Sumbangan untuk masa depan!

Iklan
Sebahagian pelajar menerima sumbangan daripada Program Inspirasi Ke Sekolah yang dianjurkan oleh DRB-HICOM Berhad dengan kerjasama Sinar Bestari baru-baru ini.

DRB-HICOM, Sinar Bestari semai semangat pelajar celik teknologi dan berjimat

Seramai 300 pelajar dari tiga sekolah di Pulau Pinang menerima manfaat menerusi Program Inspirasi Ke Sekolah anjuran DRB-HICOM Berhad dengan kerjasama Sinar Bestari, yang bukan sekadar membantu meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan baharu, malah memupuk semangat pelajar untuk belajar dan celik teknologi.

Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir itu turut dihadiri Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM, Cairil Irwan Amir; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli; Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Cairil Irwan berkata, inisiatif itu sebahagian daripada program tahunan Back-to-School kumpulan tersebut yang dilaksanakan bagi membantu keluarga berpendapatan sederhana dan rendah di seluruh negara.

Cairil Irwan (dua dari kiri) dan Zamri (dua dari kanan) bergambar bersama kru TV PSS SK Permatang Pasir selepas perasmian Studio TV PSS sekolah itu.

Iklan

"DRB-HICOM berharap sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga.

"Tahun ini, kami bersyukur dapat membantu 300 pelajar dengan sumbangan RM200 dan beg sekolah baharu untuk setiap seorang," katanya.

Iklan

Menurutnya, tiga sekolah terlibat merupakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, SK Permatang Pasir dan SK Guar Perahu turut menerima set lengkap Studio TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) bernilai RM5,000 setiap satu.

"Ia bagi memperkukuh aktiviti pembelajaran kreatif dan digital di sekolah. Set lengkap ini membabitkan telefon pintar, mikrofon, lampu studio dan gimbal bagi membantu guru serta pelajar menghasilkan video pembelajaran dan aktiviti sekolah dengan lebih kreatif serta menyeronokkan,” jelasnya.

Cairil Irwan menambah, DRB-HICOM mahu membantu pelajar menguasai kemahiran teknologi dan komunikasi seiring keperluan masa kini.

"Siapa tahu, mungkin akan ada bakal pengarah filem, wartawan atau penerbit hebat lahir dari sekolah ini," kata beliau sambil tersenyum.

Latih pelajar

Sementara itu, Zamri pula berkata, program itu bukan sekadar penyerahan bantuan, sebaliknya ia usaha berterusan untuk memperkasa pendidikan negara dan membentuk generasi berilmu, berakhlak serta celik teknologi.

"Setinggi-tinggi penghargaan buat DRB-HICOM atas keprihatinan dan semangat kebajikan ini,” katanya.

Zamri berkata, Sinar Bestari bukan sekadar menulis tentang dunia pendidikan tetapi turut turun ke sekolah di seluruh negara bagi bersama-sama murid dan guru menerusi pelbagai aktiviti lapangan.

"Sejak empat tahun lalu, kami aktif menggerakkan program Kru TV PSS yang melatih pelajar bukan sahaja menjadi wartawan muda, malah karyawan digital yang melontar idea, petah berbicara, bijak berfikir dan mahir menggunakan teknologi," tambahnya.

REAKSI

1)"Saya seronok sangat. RM200 ini saya hendak guna beli barang sekolah dan simpan sedikit untuk masa depan." 

- Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, Nor Afiqah Jaafar, 12. 

Nor Afiqah

2)"Saya dapat beg dan duit RM200. Saya hendak beli baju sekolah, alat tulis dan simpan sedikit dalam tabung untuk kemudian hari." 

- Murid SK Guar Perahu, Muhammad Ammar Afif Mohd Izir, 11.

Muhammad Ammar Afif

3)"Saya seronok apabila ada orang bagi bantuan duit. Alhamdulillah, cukup untuk kegunaan sekolah. Bila dah ada duit macam ni, tak perlu minta lagi. Terima kasih kepada DRB-HICOM dan Sinar Bestari." 

- Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir, Ahmad Hafiz Mazli, 16.

Ahmad Hafiz