Seramai 100 murid sekolah rendah dan menengah dari seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya telah menyertai Kejohanan Badminton Karnival Bakat Permainan Pendidikan Khas Wilayah Persekutuan Putrajaya 2025 di IOI Sports Centre, IOI City Mall baru-baru ini.
Program ini dianjurkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP).
Peserta terdiri daripada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang dilihat memiliki potensi besar dalam bidang sukan, khususnya badminton.
Menurut Setiausaha Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti & Swasta (PIBKS) Wilayah Persekutuan Putrajaya, Faizul Imran, penyertaan murid-murid ini amat membanggakan dan wajar diberi pujian.
"Mereka sangat bersemangat sepanjang pertandingan berlangsung. Selain itu, usaha dan dedikasi guru-guru yang terlibat juga seharusnya diberi pengiktirafan kerana terus menyokong penyertaan MBPK PPKI dalam sukan badminton," katanya dalam satu kiriman berita kepada Sinar Bestari.
Tambah beliau, penganjuran kejohanan ini bukan sahaja membuka peluang kepada murid untuk menyerlahkan bakat, malah menjadi platform untuk memilih wakil ke pertandingan lebih besar.
"Menerusi kejohanan berkenaan, para pemenang secara automatik akan mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya ke peringkat kebangsaan. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan," jelasnya.
Terdahulu, majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Putrajaya Presint 11(1), Haslinda Lop Osman dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas JPWPP, Mohd Azrani Asran.