Di sebalik kemeriahan suasana dalam bilik darjah hari ini, timbul satu persoalan sejauh manakah murid benar-benar menguasai dan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian?
Meskipun bahasa kebangsaan itu diajar di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), realitinya masih ramai pelajar lebih selesa bertutur dalam bahasa ibunda masing -masing terutama ketika berkomunikasi bersama rakan sebaya.
Situasi ini bukan sahaja mencerminkan cabaran penguasaan bahasa, tetapi turut menuntut perhatian serius terhadap peranan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan.
Di tengah-tengah sistem pendidikan yang meraikan kepelbagaian budaya, timbul keperluan untuk menilai semula bagaimana bahasa kebangsaan dapat diperkasa tanpa menjejaskan keharmonian sekolah berbilang kaum.
Hal ini jelas dapat dilihat di sekolah-sekolah bandar terutamanya apabila segelintir murid menegaskan tidak boleh bertutur atau memahami bahasa Melayu.
Lebih menyedihkan apabila terdapat pelajar berbangsa Melayu yang lebih memilih untuk menggunakan bahasa Inggeris di dalam mahupun luar kelas seperti perbicaraan harian masing-masing.
Penulis berpandangan bahawa mereka sudah terbiasa kerana dididik sejak kecil oleh keluarganya di rumah.
Perkara ini berlaku mungkin disebabkan Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan pengecualian bahasa Melayu sebagai medium pengantar utama di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) ini melalui Seksyen 17(1).
Maka, sekolah vernakular ini wujud dan bahasa pengantarnya bukan lagi bahasa kebangsaan.
Mungkinkah ini antara punca masyarakat masih tidak fasih atau tidak boleh berbahasa Melayu? Fenomena ini sebenarnya menimbulkan kerisauan bahawa penguasaan bahasa kebangsaan sebagai alat penyatuan semakin terhakis terhadap generasi muda kini.
Bagaimanapun, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) sebaliknya mendakwa bahawa pelajar di sekolah vernakular tidak menghadapi masalah serius dalam menguasai bahasa Melayu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pendekatan.
Antaranya pertandingan Forum Pelajar, Festival Bahasa dan Sastera yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memupuk penguasaan bahasa tersebut.
Sokongan kerajaan terhadap penggunaan bahasa Melayu di SJK juga termaktub secara rasmi.
Dalam mesyuarat Parlimen telah dinyatakan bahawa walaupun mata pelajaran di SJK diajar dalam bahasa ibunda, KPM menggalakkan guru menggunakan bahasa Melayu dalam aktiviti luar bilik darjah.
Seiring dengan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pernah menyuarakan optimisme bahawa tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu semakin meningkat.
Beliau turut menyebut bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelajar Cina dan India menunjukkan prestasi cemerlang dalam bahasa kebangsaan.
Ini memberi harapan bahawa peluang untuk merapatkan jurang bahasa masih ada dan wajar dipertingkatkan.
Meskipun begitu, masih ada segelintir pihak yang menyuarakan dasar kerajaan tidak cukup tegas, terutama dalam memastikan pelaksanaan program bahasa Melayu di sekolah vernakular lebih menyeluruh.
Isu ini mencerminkan dilema mendalam iaitu di satu sisi, kita menghargai kepelbagaian budaya dan bahasa ibunda sebagai unsur warisan.
Namun, di sisi lain, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetap menjadi tulang belakang penyatuan negara.
Jika penguasaan bahasa kebangsaan lemah oleh pelajar bukan Melayu, adakah ini satu pertanda bahawa integrasi nasional masih jauh daripada sempurna?
Justeru, generasi pelajar celik bahasa dan menghargai warisan budaya boleh dicapai melalui kerjasama semua pihak.