Didik jiwa lestari di sekolah

Iklan
Singki baharu disediakan oleh PAAB di Sekolah Agama Gambut membolehkan pelajar menghargai tentang pentingnya pengurusan air.

Sekolah Agama Gambut dan PAAB sasar murid peka alam sekitar

Cabaran terbesar bagi sekolah luar bandar adalah untuk melahirkan warga institusi pendidikan itu yang peka dan prihatin dengan isu kelestarian alam sekitar.

Perkara itu diakui Guru Besar Sekolah Agama Gambut, Norhayati Sukardi memandangkan sumber kewangan yang terhad menyukarkan pihaknya untuk meningkatkan kemudahan asas dan melaksanakan aktiviti kelestarian bersama murid.

Iklan
Iklan

NORHAYATI

Bagaimanapun, dengan sokongan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), ia telah mengubah persekitaran sekolah itu sepanjang tahun 2025 apabila menerima peruntukan menaik taraf kemudahan asas dan pelaksanaan projek kelestarian.

Iklan

Beliau berkata, masalah bekalan air yang sering mengganggu sesi persekolahan terutama di tandas dan kantin, akhirnya dapat diatasi melalui pemasangan mesin pam air baharu untuk meningkatkan tekanan aliran air supaya lebih stabil dan konsisten.

“Sebelum ini, kawasan wuduk lama sempit, kurang selesa dan aliran air perlahan. Dengan kemudahan baharu, murid tidak perlu lagi bersesak dan lebih teratur semasa mengambil wuduk,” katanya kepada Sinar Bestari.

Iklan

MUHAMMAD IRFAN HAKIMI

Seorang pelajar berusia 14 tahun, Muhammad Irfan Hakimi Mohd Iqbal berkata, selepas pemasangan singki baharu di kantin, murid lebih mudah mencuci tangan tanpa perlu ke tandas yang jauh dari tempat makan.

“Singki baharu memudahkan kami membasuh tangan dan membersihkan peralatan makan,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan projek kelestarian termasuk sistem penuaian air hujan (SPAH) di sekolah tersebut turut membantu menjimatkan sumber penggunaan air, sekali gus mengurangkan bil bulanan sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Zulkiflee Omar (tengah) meninjau tempat wuduk baharu bersama Norhayati di Sekolah Agama Gambut.

Menurut Norhayati, pusat sumber sekolah juga mendapat perhatian oleh PAAB dengan pemasangan lantai baharu, penghawa dingin serta televisyen pintar yang menjadikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) lebih kondusif.

“Persekitaran baharu ini memberi keselesaan kepada pelajar dan memudahkan PdP dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Daripada sudut kebersihan, beliau memaklumkan, sumbangan PAAB turut merangkumi pembinaan kawasan pelupusan sampah baharu untuk mengatasi masalah longgokan sampah dan memperkenalkan tong kitar semula.

“Pelajar diajar mengasingkan sisa seperti kertas dan botol. Hasilnya, kawasan sekolah lebih bersih, tersusun dan bebas bau,” jelasnya.

Melihat kejayaan awal, pihak sekolah merancang memperluas penglibatan komuniti termasuk sokongan ibu bapa dalam program kitar semula serta peluang kepada murid mengamalkan inisiatif berkenaan seperti menghasilkan hiasan daripada bahan terpakai.

NUR INSYIRAH

Manakala murid Tahun Enam, Nur Insyirah Mohd Iqbal berkata, program kitar semula di sekolah memberi kesedaran kepadanya mengenai kepentingan dan kaedah pengasingan sisa di punca dengan betul.

“Kami kumpulkan barang kitar semula dari rumah dan masukkan ke dalam tong khas di sekolah. Cara ini membantu mengurangkan pembuangan sampah,” katanya.