Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan inisiatif Peruntukan Deeming bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara yang teratur, konsisten dan berkesan.
KPM dalam satu kenyataan media berkata, dalam ruang lingkup pendidikan, inisiatif baharu ini dapat meningkatkan keselamatan murid dan seluruh warga pendidikan dari ancaman jenayah siber seperti eksploitasi seksual, penipuan dan penyalahgunaan platform digital.
"KPM akan meningkatkan kerjasama dengan semua pemegang taruh termasuk MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan aspek keselamatan digital dalam kalangan murid dan warga pendidikan dapat terus dipertingkatkan," katanya.