Bagi ribuan pelajar di seluruh negara, hujung Disember menjadi detik penuh debaran apabila impian untuk melangkah ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) semakin hampir menjadi kenyataan.
Harapan itu hadir apabila semakan tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus dan MRSM bagi sesi 2026 dibuka bermula 26 Disember 2025 hingga 13 Januari 2026, sekali gus menjadi penentu hala tuju akademik ramai pelajar yang bercita-cita tinggi.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa semakan tawaran melibatkan kemasukan bagi tiga kategori utama iaitu pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM).
Bagi pelajar, peluang ke MRSM bukan sekadar melanjutkan pelajaran di sekolah berprestij, malah membuka ruang pembentukan jati diri, kepimpinan serta budaya pembelajaran berdisiplin yang menjadi tunjang kejayaan graduan institusi berkenaan.
Tidak berjaya pada semakan awal bukan penamat segalanya. MARA turut membuka ruang rayuan dalam tempoh yang sama, manakala semakan keputusan rayuan akan diumumkan pada 6 hingga 10 Februari 2026.
Sementara itu, pendaftaran pelajar yang berjaya ditetapkan pada 13 Januari 2026, menandakan permulaan fasa baharu yang bakal mengubah kehidupan pelajar serta keluarga mereka.
Semakan keputusan dan rayuan boleh dibuat mengikut kategori sekolah asal pelajar melalui pautan rasmi MARA. Pelajar dan ibu bapa dinasihatkan supaya menyemak maklumat dengan teliti serta mematuhi tarikh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang masalah semasa proses pendaftaran.
Setiap tahun, kemasukan ke MRSM sentiasa dinantikan kerana ia bukan sahaja menawarkan kecemerlangan akademik, malah membina daya saing, sahsiah dan keyakinan diri pelajar untuk melangkah lebih jauh dalam dunia pendidikan.
Bagi pelajar yang menunggu keputusan, saat ini bukan sekadar semakan dalam talian, tetapi kemuncak kepada usaha, doa dan pengorbanan sepanjang tempoh persekolahan mereka.
Selamat maju jaya Sinar Bestari ucapkan!