Detik menekan butang 'semak keputusan' bukanlah saat biasa bagi ribuan pelajar dan ibu bapa di seluruh negara. Ia hadir bersama debaran, harapan dan doa yang dipanjatkan sejak sekian lama.
Momen itulah yang disentuh oleh mantan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi satu hantaran di Facebook, apabila memaklumkan bahawa ibu bapa dan pelajar kini boleh mula menyemak tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi 2026.
Bagi sebahagian keluarga, keputusan ini membawa senyuman dan rasa syukur yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Bagi yang masih belum berjaya, ia pula menjadi titik muhasabah dan permulaan kepada laluan pendidikan yang berbeza, namun tidak kurang nilainya.
Hakikatnya, setiap keputusan membuka cerita dan perjalanan tersendiri buat seorang anak yang sedang membina masa depan.
Dalam perkongsian itu, Mohd Radzi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar yang berjaya melangkah ke institusi pendidikan berprestij seperti MRSM, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa kejayaan bukan hanya terletak pada nama sekolah, tetapi pada usaha, disiplin dan keazaman pelajar untuk terus belajar dan berkembang.
Harapan ibu bapa, amanah pendidikan
Di sebalik setiap keputusan yang dipaparkan di skrin, tersimpan pengorbanan ibu bapa yang tidak pernah putus berdoa dan menyokong anak-anak mereka.
Ada yang sanggup berulang-alik menghantar anak ke kelas tambahan, ada yang mengetepikan keperluan sendiri demi memastikan anak mendapat pendidikan terbaik.
Bagi pelajar pula, tawaran ini bukan noktah kejayaan, sebaliknya amanah besar untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. Mereka bukan sekadar membawa nama diri, tetapi juga harapan keluarga dan kepercayaan masyarakat.
Seperti yang sering ditekankan, laluan pendidikan tidak pernah satu hala. Sama ada berjaya atau sebaliknya dalam permohonan kali ini, setiap pelajar tetap memiliki ruang dan peluang untuk cemerlang dengan cara masing-masing.
Yang penting, semangat untuk terus berusaha tidak pernah pudar!