JANUARI: Murid Pasti muncul Juara Dunia pertandingan pidato
Murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Furqan, Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu, Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim, 7, mengharumkan nama negeri itu apabila memenangi gelaran Juara Dunia pada Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63.
Kejayaan Amatullah Hamidah dalam kategori Early Childhood Group (7 years old) turut mengangkat nama negara di mata dunia sekali gus membuktikan yang anak-anak Malaysia khususnya di Terengganu mampu bersaing dengan sesiapa sahaja dengan usaha dan bakat luar biasa dimiliki mereka!
FEBRUARI: A Night at Karangkraf
Siapa sangka tempat berhimpunnya para karyawan Karangkraf menjadi lokasi untuk pelajar beraktiviti dan bermalam sempena A Night at Karangkraf.
Peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang membolehkan mereka menyimpan impian dan mula mengejar cita-cita. Salah satunya, aktiviti Lawatan Kerjaya menjadi asbab peserta menyimpan impian besar untuk belajar bersungguh-sungguh.
Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin berkata, program dua hari itu turut memberikan maklumat mengenai cabaran dan perubahan yang bakal dihadapi sambil memupuk sikap positif, disiplin serta perubahan diri.
MAC: Khatam al-Quran 4.0 sebelum berbuka puasa
Mengimarahkan Ramadan tidak akan lengkap sekiranya tiada pengisian khatam al-Quran bagi umat Islam.
Tidak mahu melepaskan peluang itu, Akademi Pendidikan Sinar Bestari dengan kerjasama Sinar Harian, Sinar Bestari, Sinar Islam Plus dan Yayasan Nur Karangkraf menganjurkan program Khatam Al-Quran 4.0 bersama 72 pelajar asnaf, anak yatim dan tahfiz.
APRIL: Latihan Industri TV PSS
Seramai 72 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 23 buah sekolah seluruh negara berkampung selama dua hari di Karangkraf Shah Alam, Selangor bagi menyertai Latihan Industri TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) anjuran Sinar Bestari.
Program berlangsung pada 29 dan 30 April lalu yang turut dihadiri 24 guru pengiring, bertujuan memberi pendedahan awal kepada peserta tentang dunia penyiaran dan media merangkumi latihan pengacaraan, pengendalian kamera, penyuntingan video dan simulasi program TV.
Sepanjang program, para peserta dibimbing tenaga pengajar berpengalaman antaranya Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak dan Kru TV PSS Sinar Bestari, Muhammad Ikhwan Muhammad Azahari.
MEI: Menteri Pendidikan umum 6 berita gembira untuk guru
Sambutan Hari Guru ke-54 tahun ini bukan sekadar acara penuh penghargaan tetapi ia hadir bersama khabar paling menggembirakan buat seluruh warga pendidik.
Dalam suasana penuh gemilang sempena sambutan berkenaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah mengumumkan enam inisiatif penting sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan guru-guru di seluruh negara.
Enam inisiatif itu merangkumi pelbagai bentuk insentif yang dirangka khusus bagi menghargai warga pendidik dalam memartabatkan sistem pendidikan negara.
JUN: Latihan Industri TV PSS 2.0
Latihan Industri TV PSS 2.0 bukan sekadar platform pembelajaran, malah medan mencungkil dan mencorak bakat pelajar dalam bidang media serta penyiaran.
Menerusi pendekatan berasaskan amali dan pengalaman sebenar, program ini memberi ruang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang berbakat meneroka dunia produksi video, suntingan serta penulisan skrip dengan lebih mendalam.
JULAI: Mohd Azam dilantik KPPM baharu
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Dr Mohd Azam Ahmad dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa 7 Julai.
Beliau menggantikan Datuk Azman Adnan yang bersara wajib pada 5 Julai lalu.
Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang pendidikan, Mohd Azam mampu memperkasakan sistem pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang.
OGOS: 'Human graphic', koir bentuk formasi kreatif
Pada 31 Ogos lalu, Dataran Putrajaya menjadi saksi jutaan rakyat Malaysia meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang diserikan dengan persembahan istimewa.
Ia menggabungkan seni kreatif tarian human graphic dan alunan koir daripada seramai 2,000 pelajar seluruh negeri Selangor.
Mereka berganding tenaga membentuk formasi kreatif yang melakar simbol kebanggan negara, diiringi nyanyian koir penuh semangat patriotik.
SEPTEMBER: SMAHMY dominasi Anugerah TV PSS
Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim (SMAHMY) mendominasi Festival TV PSS walaupun baru pertama kali menyertai pertandingan berprestij itu.
Sebanyak lima daripada enam anugerah yang dirangkul untuk kategori sekolah menengah dipertandingkan iaitu Pengacara, Pengarah, Penyunting, Skrip dan Video Terbaik.
Empat daripada lima kemenangan itu juga telah menempatkan sekolah mereka di tempat pertama dengan membawa pulang hadiah lumayan.
Lebih menggembirakan lagi apabila Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyempurnakan Majlis Kemuncak Festival TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025 di Geno Hotel, Selangor.
Program yang menghimpunkan 32 penyertaan dari 16 negeri seluruh negara melibatkan kategori SK dan SMK terbabit merupakan anjuran bersama Sinar Bestari dengan kerjasama BSTP KPM.
Festival itu mengetengahkan tema Transformasi Digital, Kelestarian Sejagat, Kreativiti Tanpa Batasan dan Meneroka Masa Depan Teknologi dan Alam.
OKTOBER: SK Putrajaya Presint 11(1) cipta sejarah, rangkul gelaran Sekolah Terbaik Dunia 2025
Seluruh rakyat Malaysia berbangga apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.
Menerusi kemenangan itu, mereka menerima AS$50,000 (RM235,000) sekali gus dijemput menghadiri Persidangan Sekolah Dunia yang bakal berlangsung di Abu Dhabi pada 15 dan 16 November 2025.
Pengiktirafan bertaraf antarabangsa tersebut merupakan hasil kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) membangunkan aplikasi mudah alih dinamakan Helpie.
NOVEMBER: Roadtour 15 sekolah sempena Jelajah TV PSS Sinar Bestari X Air Selangor
Air Selangor membuka peluang kepada pelajar sekolah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan kreativiti serta kehebatan dalam menyebarkan mesej pemuliharaan air.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali mengakui kehebatan kru TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) dalam pembikinan video.
Air Selangor bersama BoBoiBoy melawati 15 sekolah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi menyampaikan mesej tentang pemuliharaan air melalui Jelajah TV PSS Sinar Bestari.
DISEMBER: KPM rekod pelbagai pencapaian reformasi pendidikan sepanjang tiga tahun - Fadhlina
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan pelbagai pencapaian utama sepanjang tiga tahun pelaksanaan reformasi pendidikan, termasuk penguatkuasaan pendidikan menengah wajib, pengurangan beban tugas pendidik serta pembinaan dan pemulihan sekolah di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan reformasi pendidikan itu akan terus diperkukuh dan pada tahun hadapan, tumpuan KPM adalah mempersiapkan guru-guru bagi menghadapi pelaksanaan Kurikulum Baharu 2027, yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2026 di peringkat prasekolah, diikuti pada 2027 bagi Tahun Satu dan Tingkatan Satu.