100 pelajar asnaf terpilih, terima manfaat wakaf ilmu

Iklan
Tina (dua dari kiri) melihat antara barangan sekolah yang akan diserahkan kepada pelajar asnaf sempena Program Community Education Network (CEN) 2026: Ar-Rahman Wakaf Ilmu - Back to School for Asnaf, 3 Januari depan.

Kira-kira 100 pelajar asnaf daripada peringkat sekolah rendah dan menengah bakal menerima manfaat menerusi Program Community Education Network (CEN) 2026: Ar-Rahman Wakaf Ilmu - Back to School for Asnaf yang dianjurkan Taj International College (TIC) pada 3 Januari ini.

Program berkonsepkan wakaf ilmu dan kebajikan pendidikan itu antara lain sebagai inisiatif meringankan beban kewangan keluarga asnaf dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu tahun 2026.

Iklan
Iklan

Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, penganjuran program berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyediaan bantuan fizikal, malah menekankan kepentingan pendidikan serta pengukuhan penglibatan komuniti dalam pembangunan sosial yang mampan.

Menurutnya, antara bantuan yang akan disalurkan ialah pakaian seragam sekolah, beg, kasut, alat tulis serta keperluan asas pendidikan, selain pelaksanaan Wakaf Pendidikan Kafa bagi menyokong pembelajaran al-Quran dan fardu ain secara berterusan.

Iklan

Tina (duduk, tengah) bersama pihak sokongan dan tajaan yang bakal menjayakan Program Community Education Network (CEN) 2026: Ar-Rahman Wakaf Ilmu - Back to School for Asnaf, 3 Januari depan.

"Program ini dilaksanakan berasaskan konsep wakaf ilmu, di mana pendidikan dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk membentuk masa depan golongan kurang berkemampuan, bukan sekadar bantuan bersifat sementara," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, program itu mendapat sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan dan rakan strategik korporat antaranya Pertubuhan Kasih Kita Negeri Perak dan Canggih Sutera Sdn Bhd.

"Selain penyerahan kit kelengkapan persekolahan kepada keluarga asnaf dan anak yatim, program turut melibatkan serahan bakul makanan kepada pelajar yang mendaftar di bawah Program TIC Prihatin," katanya.

Program yang dijadualkan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sokongan seperti bengkel keibubapaan, motivasi, pertandingan mewarna, jualan, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan bayi comel.