Tiada pelajar seharusnya tercicir daripada mendaftar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hanya disebabkan kekangan kewangan, tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi berkata, menjelang pendaftaran serentak pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di semua MRSM esok, beliau telah mengarahkan pihak pengurusan Mara supaya semua MRSM menghubungi pelajar yang tidak hadir mendaftar bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan, khususnya kepada mereka yang berdepan masalah kewangan.
"Saya tidak mahu ada pelajar tercicir kerana kemiskinan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa ibu bapa atau penjaga pelajar yang menghadapi kekangan kewangan atau masalah lain supaya segera berhubung dengan pihak pengurusan MRSM masing-masing.
Beliau memberi jaminan Mara bersama pihak pengurusan MRSM akan berusaha membantu bagi memastikan semua pelajar yang layak tidak terlepas peluang untuk meneruskan pendidikan di institusi berkenaan.
"Insya-ALLAH, Mara dan pihak MRSM akan membantu," katanya.
Sesi persekolahan 2026/2027 bagi semua sekolah Kumpulan A di Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula semalam, sementara kumpulan B melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula hari ini. Sementara itu, sesi persekolahan MRSM akan bermula esok. - Bernama